» » 'BN boleh menang PRU14 jika saya dapat sokongan penuh'


Barisan Nasional (BN) berupaya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya ia tidak berbalah sesama sendiri dan sokongan penuh diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak, kata perdana menteri, menjawab desakan supaya beliau berundur.

Katanya, dasar transformasi yang dilaksanakannya sepanjang 6 tahun lalu sudah mula menampakkan impak ke atas kehidupan rakyat, dan sekiranya beliau yang merupakan pengerusi BN mendapat sokongan yang diperlukan, parti itu "akan berjaya".

"Kalau saya dapat sokongan yang saya perlukan untuk meneruskan program transformasi, kita akan berjaya. Kalau kita bersatu, hentikan perselisihan dalaman, kita akan berjaya.

"Kalau kita tumpukan kepada politik yang membina, bukannya yang menghancurkan, kita akan berjaya.

"Kalau kita tumpukan kepada kerja, bukannya mempercayai dan menyebarkan khabar angin, putar belit dan cerita yang separuh benar, kita akan berjaya," tulisnya dalam blognya www.najibrazak.com hari ini.

Posting beliau itu merupakan sebahagian daripada catatan di ruangan Soalan Lazim blog itu, di mana presiden Umno itu cuba menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan secara terbuka akhir-akhir ini, termasuk oleh ahli Umno sendiri.

Bekas perdana menteri dan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini menjalankan kempen untuk menyingkirkan Najib, mengatakan Umno dan BN akan kalah dalam PRU akan datang sekiranya Najib terus berkuasa.

Kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap Najib dilihat menyebabkan keretakan di kalangan ahli akar umbi Umno, walaupun pemimpin pertengahan yang berpengaruh di peringkat bahagian menzahirkan sokongan kuat mereka terhadapnya.

Mahathir menyenaraikan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan gaya hidup mewah keluarga Najib sebagai antara sebab mengapa beliau harus meletak jawatan.

Menulis di bawah tajuk "Dakwaan yang BN akan kalah pada PRU akan datang", Najib kelihatan bertindak balas terhadap serangan itu dengan mengetengahkan kejayaan di bawah program transformasi ekonomi.

“Kita sudah mula nampak hasil daripada usaha kita. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sekitar 5-6% sejak saya mengambil alih dan kita sedang dalam perjalanan lancar mencapai ekonomi maju menjelang 2020."

Antara pencapaian yang ditonjolkan Najib ialah:

* Mencapai skor terbaik dalam 10 tahun bawah Indeks Persepsi Rasuah Transparency International;

* Menarik kadar pelaburan asing yang tinggi sambil menurunkan hutang negara kepada nisbah KDNK dan defisit bajet; dan

* Mencecah kadar tertinggi sepanjang masa dalam indeks ekonomi paling berdaya saing bawah Forum Ekonomi Dunia, memintas Australia, Perancis, Austria dan Korea Selatan.

Beliau juga berkata beberapa unit dalam projek perumahan mampu milik di bawah skim PR1MA kini siap manakala 60% daripada fasa pertama projek infrastruktur terbesar negara, Mass Rail Transit (MRT), kini sedia.

"Ekonomi negara membuka 1.5 juta pekerjaan baru dalam tempoh 5 tahun lalu, membuatkan kadar pengangguran kita yang paling rendah di dunia."

Beliau juga meminta pembaca membandingkan kejayaan tersebut dengan dakwaan "kegagalan" beliau bagi "mengiktiraf" sejauh mana pencapaian negara ini.

"Perubahan berlaku di depan mata kita. Tetapi saya tahu, pastinya ramai yang lebih suka melihat yang buruk dan terus berpegang pada khabar angin yang tidak berkesudahan, separuh benar dan diputarbelit.

"Mereka terus percaya yang 'masanya hampir tamat' dan pembangkang akan menang. Dakwaan ini dibuat berulang kali dalam tempoh 5 dekad yang lalu, tetapi kita masih di sini."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .