» » Bank Negara M'sia paling sesuai siasat skandal 1MDB


Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kuasa bank pusat yang ada padanya merupakan badan paling sesuai menyiasat transaksi syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut Transparency International-Malaysia (TI-M) dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar berkata, ini kerana BNM ada peruntukan kuasa mengarahkan pendedahan segala butiran dan transaksi akaun yang dianggap sulit oleh bank bagi memudahkan penyiasatan dilakukan.

"TI-M menggesa BNM sebagai penyelia utama perniagaan dan transaksi bank supaya menggunakan kuasa mereka dengan segera," kata Akhbar.

Susulan pelbagai pendedahan yang menambahkan kesangsian mengenai status kewangan 1MDB yang kini dibebani hutang mencecah RM42 bilion, syarikat itu semalam berkata ia tidak dapat mengulas lanjut dengan memberi alasan melibatkan perkara sulit perbankan.

Business Times dari Singapura semalam melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya.

Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Menurut sumber dipetiknya, dokumen cagaran Brazen Sky didapati "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan membolehkan bank menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

Bagaimanapun, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy enggan mengulas lanjut.

"Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Akhbar memberi amaran sebarang kejatuhan 1MDB memberi kesan buruk kepada rakyat Malaysia.

"RM42 bilion bukan sedikit jumlahnya dan kemungkinan kejatuhan 1MDB boleh memberi kesan buruk kepada dana pembayar cukai dan kesejahteraan kewangan Malaysia," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .