Hari ini, perdana menteri akan mengumumkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), satu set dasar meletakkan Malaysia di pusingan terakhir ke arah status negara maju dalam tempoh lima tahun walaupun berdepan halangan ekonomi yang sukar dan terlepas sasaran pertumbuhan sebelumnya.
Di saat Datuk Seri Najib Razak menggariskan arah negara, kerajaan mengalami kejatuhan sumber pendapatan disebabkan harga minyak rendah manakala penggunaan swasta, yang kini menjadi faktor utama keluaran dalam negeri kasar (KDNK), menjadi lemah disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Laporan media mendakwa Najib akan mengumumkan beberapa projek infrastruktur besar, yang dibiayai sektor swasta dan awam untuk merangsang pertumbuhan.
The StarBiz memetik pendapat beberapa pakar, melaporkan projek ini termasuk Mass Rapid Transit (MRT) dan rel tambahan Transit Aliran Ringan (LRT).
Semua inisiatif ini diharapkan akan mendorong KDNK dan pendapatan negara kasar (PNK) setiap tahun supaya Malaysia mencapai sasaran RM55,695 per kapita pada 2020 yang ditetapkan kerajaan.
Tetapi apa yang lebih sukar, kata pakar lain, ialah bagaimana memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat bahagian saksama daripada semua pertumbuhan tanpa mengira jantina dan etnik, dan kebanyakan manfaat tidak hanya dirasai 20% golongan atasan.
Rancangan Malaysia ke-10
Rancangan Malaysia lima tahun yang diperkenalkan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada 1966 bertujuan menetapkan trajektori pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang sebagai tindak balas kepada ekonomi global.
Pada 2010, pentadbiran Najib, melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU), mengumumkan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Ia bagi menetapkan asas pertumbuhan negara ke arah status berpendapatan tinggi dengan menyusun semula aspek-aspek tertentu dalam ekonomi.
RMK-11 bertujuan menyelesaikan apa yang dimulakan RMK-10.
RMK-10 turut menekankan pertumbuhan inklusif dengan menyasarkan peningkatan kehidupan 40% golongan isi rumah di Malaysia. Ia memperuntukkan RM230 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 22% dalam RMK-9.
Daripada RM230 bilion, 60% dibelanjakan untuk pembangunan fizikal manakala 40% dibelanjakan pembangunan bukan fizikal.
RMK-10 bukan sahaja memperkenalkan projek besar seperti MRT tetapi juga menyusun semula sistem subsidi. Ia mengakhiri subsidi petrol bagi menyalurkan pemberian yang disasarkan seperti Skim Bantuan Rakyat (BR1M).
RMK-10 juga menyaksikan pengenalan pembaharuan asas cukai dengan memperkenalkan GST dan mengurangkan cukai pendapatan peribadi.
Sejak Najib memutuskan menjadi perdana menteri yang akan menjadikan Malaysia negara berstatus berpendapatan tinggi, RMK-10 menetapkan sasaran pertumbuhan 6% setiap tahun supaya Malaysia boleh mencapai PNK per kapita RM38,845 atau (AS$12,139) pada 2015.
Menurut Program Transformasi Ekonomi (ETP), sasaran Putrajaya adalah Malaysia mempunyai PNK per kapita sebanyak RM55,695 atau AS$15,000 pada 2020.
RMK-11 akan menggariskan bagaimana Malaysia akan mencapai sasaran itu.
Melihat kembali lima tahun yang lalu
Tetapi sebelum melihat ke arah tempoh lima tahun akan datang, kumpulan pemikir Institut Rakyat berpendapat Putrajaya gagal memenuhi beberapa sasaran dalam RMK-10.
Penyelidik Institut Rakyat berkata, berdasarkan kadar pertumbuhan semasa, negara ini tidak mungkin mencapai RM55,695 atau AS$15,000 sebagaimana sasaran PNK pada 2020.
Ini kerana Malaysia tidak dapat mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6% setiap tahun dari 2011 hingga 2015 untuk mencapai sasaran 2020.
Pada 2011, Malaysia hanya mampu mencapai kadar pertumbuhan 5.1%, manakala pada tahun-tahun berikutnya 5.6% (2012), 4.7% (2013), dan 5.8% (2014).
“Sasaran PNK per kapita RM38,845 pada 2015 dijangka menemui kegagalan memandangkan PNK per kapita hanya pada RM34,079 pada 2014," kata Yin Shao Loong dan Ginie Lim dari Institut Rakyat dalam satu kenyataan semalam.
Mereka berkata, terdapat juga sasaran lain yang tidak tercapai seperti menjadikan sektor perkhidmatan menyumbang 61% daripada KDNK pada 2015 dan menghasilkan pekerja mahir sebanyak 33% daripada semua pekerja.
Juga penting adalah hakikat tidak semua pertumbuhan dalam tempoh lima tahun lalu dikongsi sama rata antara semua rakyat Malaysia, kata kumpulan pemikir itu.
Walaupun pendapatan purata 40% isi rumah meningkat kepada RM2,300 pada tahun 2015, jurang pendapatan antara mereka, pertengahan 40% dan 20% daripada rakyat Malaysia tidak berubah.
Menurut Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 (MHDR), jurang pendapatan relatif antara 20% golongan atasan dan 40% golongan bawahan di antara tahun 1990 dan 2012 adalah sebanyak tujuh kali.
Pertumbuhan saksama
Justeru, ia menyebabkan sesetengah pakar mempersoalkan sama ada status berpendapatan tinggi memberi apa-apa makna jika negara ini tidak menangani jurang gaji antara kelas-kelas yang berbeza, di dalam kumpulan etnik yang berbeza dan antara lelaki dan wanita.
Ketika Putrajaya melancarkan RMK-11, ia perlu mempunyai generasi kedua dasar inklusif yang memastikan pertumbuhan disebarkan lebih sama rata, kata Profesor Adjung, Tan Sri Kamal Salih daripada Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.
"Kita perlu mengembangkan kelas menengah dan menyasarkan perbezaan antara etnik, bukan sahaja antara kumpulan etnik tetapi antara jantina dan wilayah," kata Kamal.
Sebagai contoh, menurut MHDR 2013, jurang pendapatan Bumiputera berpendapatan tinggi dan miskin melonjak sebanyak 20 kali ganda di antara 1970 dan 2009.
Untuk beralih ke liga negara maju, Malaysia perlu menamatkan diskriminasi etnik, gender dan wilayah, kata Kamal.
Sebagaimana dikatakan Yin daripada Institut Rakyat, jika Malaysia benar-benar mahu menjadi sebuah ekonomi maju dan meningkatkan pendapatan rakyat, maka ia perlu meninggalkan model industri lama yang nilai tambah dan berkos rendah yang dibawa dalam rancangan sebelumnya.
Lima tahun dari 2020 dan Malaysia masih terperangkap dalam membuat produk pertanian dan barangan perantaraan, seperti alat ganti, tulis Yin.
Dalam usaha agar pelan ke-11 memenuhi matlamat Malaysia bagi menuju 2020, ia perlu lebih bercita-cita tinggi dan berani daripada semua yang pernah dilakukan dahulu.
No comments: