» » 1.5 juta pekerjaan baru menjelang 2020


Sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), 60% daripadanya memerlukan kelayakan berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut rancangan pembangunan negara bagi tempoh 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini, TVET akan menjadi platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir dalam hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

"Kerajaan akan mempergiat kolaborasi dengan industri untuk meningkatkan pengambilan TVET, menambah baik kualiti program dan institusi serta memperkukuh penjenamaan dan profil TVET," menurut dokumen pembangunan 5 tahun bertema "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat" itu.

Sektor TVET sedia ada yang tidak bersepadu akan diperkukuh melalui penubuhan sistem tunggal yang akan diguna pakai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan TVET yang lebih baik.

Sistem baharu ini akan bertanggungjawab mengakreditasi program TVET yang ditawarkan institusi TVET awam dan swasta berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) yang disemak semula, menurut RMK11 yang mengandungi 6 teras strategik dan 6 pemacu perubahan ke arah merealisasikan matlamat Malaysia menjadi negara maju dan inklusif selaras dengan Wawasan 2020.

Dihuraikan dalam teras RMK11 berhubung usaha "Meningkatkan Pembangunan Modal Insan Untuk Negara Maju", dokumen itu menggariskan usaha berterusan yang akan dilaksanakan bagi mengarus perdana Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) untuk melahirkan graduan TVET berkemahiran yang diperlukan industri.

Dokumen itu menyebut bahawa SLDN dirangka bagi menawarkan latihan berasaskan industri dengan 70% daripadanya dilaksanakan di syarikat manakala baki 30% lagi di institusi TVET.

Bagi memenuhi keperluan 60% graduan berkelayakan TVET, kerajaan menyasarkan peningkatan pengambilan pelajar setiap tahun secara berperingkat daripada 164,000 pada 2013 kepada 225,000 pada 2020.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui cabaran bukan sahaja mengenai sasaran pengambilan, malah persepsi bahawa TVET masih dianggap aliran pendidikan tidak menarik perlu ditangani dengan sewajarnya.

"Isu berkenaan kualiti dan kuantiti bukan perkara mudah untuk diselesaikan. Landskap TVET di Malaysia adalah tidak bersepadu, dengan lebih daripada 1,000 institusi TVET awam dan swasta menawarkan program yang sama dengan standard yang berbeza," menurut laporan itu lagi.

Namun, aspirasi itu boleh dicapai sekiranya sistem TVET diharmonikan dan diperkemas untuk mengurangkan ketidakseragaman yang merentasi institusi TVET awam dan swasta.

Selain itu, program dan intervensi untuk menggalakkan TVET yang diterajui industri akan dilaksanakan bagi memastikan graduan TVET adalah selaras dengan keperluan industri.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .