» » 'Saya berundur ketika masih ada sokongan'


Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan ke atas Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa sokongan yang diberikan kepada perdana menteri itu adalah tidak benar.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat tersebut menyindir Najib dengan membandingkan antara sokongan yang diterimanya daripada orang ramai semasa membuat keputusan untuk berundur pada 2003 dengan sokongan yang diterima Najib kini.

"Apabila seseorang merasakan beliau tidak lagi menerima sokongan, lebih baik beliau pergi (lepas jawatan)," kata Dr Mahathir semasa ditemui wartawan selepas forum anti peperangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pagi ini.

"Saya berundur, walaupun saya memiliki sokongan, tapi itu disebabkan saya menjadi perdana menteri terlalu lama.

"Tetapi, apabila rakyat menyatakan mereka tidak gembira, anda perlu respons, jangan hanya fikir diri sendiri, tetapi fikirkan rakyat yang anda pimpin, mereka yang di belakang anda.

"Apabila mereka tiada lagi, anda bukan lagi seorang pemimpin," katanya.

Katanya, pendiriannya supaya Najib berundur dikongsi ramai orang kerana ia demi Umno dan kebaikan negara.

"Bukan saya seorang saja yang mahukan beliau (Najib) letak jawatan. Saya rasa ramai yang mahu beliau letak jawatan untuk kebaikan Umno dan negara," katanya.

Beliau berkata, ketika ini pun ramai pemimpin Umno dan orang ramai yang berjumpa dengannya bagi menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib.

Tetapi, mereka tidak menyatakannya secara terbuka kerana bimbang ditangkap, katanya sambil menambah beliau memahami kebimbangan yang dihadapi menyebabkan mereka tidak berani untuk tampil ke depan.

"Ramai yang bertemu saya, tapi mereka tidak suka dilihat bertemu atau sokong saya. Saya memahami kebimbangan mereka.

"Orang ditangkap dan kemudian dibebaskan, perkara macam itu. Orang ramai sekarang takut polis datang dan ambil mereka," katanya.

Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini mengakui keseorangan dalam mengkritik pentadbiran Najib, bagaimanapun keadaan tersebut berubah apabila ramai yang tampil menyatakan pendirian mereka bersamanya.

Katanya, ramai yang sependapat dan bersetuju dengannya, cuma mereka tidak menyokong secara terbuka.

"Jadi, mereka bersetuju dengan saya, tapi mereka tidak akan tunjuk (sokongan)," katanya.

Dr Mahathir kini secara terbuka melancarkan serangan terhadap Najib dan menyenaraikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya, mengatakan tiada satu pun dijawab dengan sempurna.

Isu yang dibangkitkan termasuk pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu; dakwaan salah seorang yang disabitkan, bekas komando Sirul Azhar Umar; masalah dihadapi dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad; gaya hidup mewah anak tiri Najib, Riza Aziz; dan jet peribadi baharu untuk Najib.

Walaupun pada 9 April Najib dalam program soal jawab Edisi Khas TV3 menghabiskan kira-kira 45 minit menjelaskan banyak perkara yang dipertikaikan Dr Mahathir, ia masih tidak memuaskan hatinya.

Dr Mahathir kemudiannya meneruskan serangan melalui wawancara dengan para blogger yang kemudiannya memuat naik klip video perbualan mereka di beberapa blog di Internet.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .