» » 'Rafizi berasa begitu teruja kerana disaman Najib Razak dan Rosmah Mansor'


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengatakan teruja selepas menerima surat saman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kenyataan yang bertajuk “Kenapa kita pertahankan subsidi minyak”.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bukan beliau sahaja teruja mempertahankan kenyataannya malah peguamnya juga turut memberi reaksi sama dan ia disifatkan sebagai satu peluang dinantikan rakyat Malaysia.

"Peguam saya turut teruja untuk menyoal balas (cross examine) Najib dan Datin Rosmah di mahkamah nanti, seperti mana seluruh rakyat Malaysia ternanti-nantikan saat itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang dokumen mengenai saman tersebut.

"Saya belum mendapat apa-apa dokumen atau pengesahan mengenai saman tersebut, namun saya yakin ia lanjutan dari surat tuntutan (demand letter) yang dihantar kepada saya pada 4 Disember 2014 yang lepas," katanya sambil turut menyertakan surat tuntutan dan jawapan peguamnya.

Beliau mengakui sudah menjangkakan saman daripada presiden Umno itu, susulan daripada surat tuntutan yang pernah diterimanya pada Disember lepas.

"Saya percaya ini sebahagian daripada usaha untuk menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat dari terus bersuara mengenai isu rakyat.

"Saya akan terus bersuara dan tidak akan takut dengan tindakan mahkamah seperti ini," katanya.

Najib dan Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi dan pemilik portal Media Rakyat Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.

Saman tersebut difailkan semalam menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan ia diserahkan kepada Rafizi dan Chan hari ini.

Menerusi writ saman Najib dan Rosmah menamakan Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.

Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Rafizi dirakam Media Rakyat yang kemudiannya dimuat naik oChan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk “Rafizi Ramli: Kenapa kita pertahankan subsidi minyak”.

Mereka juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Mereka berkata, rakaman tersebut ditonton sebanyak 9,736 kali dalam laman YouTube setakat 15 April manakala terdapat 356,569 pengguna yang mengikuti Facebook milik Rafizi dan 162,118 lagi dalam Facebook Chan.

Rafizi menjadi pemimpin pembangkang kedua menerima surat saman daripada Najib, apabila perdana menteri‎ turut menghantar surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang memfitnah beliau dan isterinya.

Surat tuntutan menyatakan kenyataan pada 29 Mac, dengan gambar bertajuk, "Siapa PM M'sia yang Sebenar? Jawab!" yang diterbitkan semula atau dikongsi dalam media sosial, adalah 'defamatory and slanderous' (tuduhan bersifat fitnah).

Najib, dalam surat dihantar firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, membuat 7 tuntutan termasuk meminta Nga membuat dan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dan menarik balik kenyataan itu, berhenti daripada terus membuat kenyataan sama dan membayar pampasan bagi kecederaan dan kerosakan yang berlaku.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .