» » 'Pakatan Dr Mahathir dan Anwar mampu jatuhkan Najib Razak'


Usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dari kerusi perdana menteri yang ditakhtai sekarang ini bukan mudah. Memang nampak hari ini usaha itu sedang keras dijalankan. Mereka yang berusaha untuk menyingkirkannya menggunakan apa saja senjata, tetapi Najib kelihatan tetap kukuh dikerusinya. “Deadline” yang ditetapkan Jun ini masih kabur.

Salah satu sebab mengapa Najib dilihat liat ialah kerana "kecerdikan" politiknya yang kepada orang lain politik pandir. Sikap yang diambil Najib tenang dan tidak mudah melenting, menjadi salah satu faktor memangkinkan kedudukannya. 

Najib tidak mudah gelabah dan menjawab setiap isu yang dihala ke arahnya. Politik Najib macam bayu malam, lembut tetapi menyelinap ke tulang hitam.

Jika dibandingkan dengan pemimpin lain, ambil contoh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dahulu apabila menghadapi kritikan penulis Anwar terus memberi respons. Situasi ini berbeza dengan Najib yang begitu berhati-hati. 

Mungkin Najib menyedari dia tidak mempunyai ilmu silat banyak dan cekap menjawab persis Anwar maka, jalan yang diambilnya hanya mendiamkan diri sahaja sebagai alat perlindungan diri.

Najib banyak memberi tugas kepada orang lain untuk membela dirinya. Sikap dan perangai golongan bangsawan diamalkan oleh Najib. 

Anak raja dan orang kaya zaman dulu suka memperhambakan orang lain, bukan saja menyuruh orang memanjat kepala muda, tetapi kalau tengkolok jatuh pun diperintah hamba abdi mengambilnya. 

Begitulah Najib dalam berhadapan dengan situasi gawat dalam politik. Dia senantiasa berasa dirinya raja yang sering disokong rakyat tanpa pernah mempersoalkan kesalahannya.

Selain daripada itu Najib juga pandai membuat dirinya seperi "lembu kenyang" atau pun tenggiling yang melindungi diri dengan segala kudratnya. Dia semacam tidak kisah, katalah apa hendak dikatakan kepadanya. 

Najib benar-benar menunjukkan sikap seperti seorang suami yang takutkan bini, di mana tidak membantah apa yang bini suruh. Disuruh duduk, duduk, disuruh berjalan berjalan disuruh diam, diam. 

Di depan bini pijak semut tidak mati tetapi di belakang bini gajah pun boleh ditumbangkan. Yang penting Najib mengelakkan berlaku sengeka terbuka.

Serangan ke atas diri Najib bukan bermula sehari dua ini, tetapi ia bermula sejak lama dahulu. Sewaktu memimpin Pemuda Umno Najib sudah diserang. Peribadinya diungkit termasuk mengadakan hubungan sulit dengan seorang artis, sampai katanya ditangkap di Port Dickson.

Najib dikaitkan dengan stail politik “play safe”, dia tidak suka kepada kontroversi dan berpolemik. Kelemahan Najib ialah untuk berdebat, jadi dia pandai senantiasa waspada dari terjerat dengan debat. 

Sebab itu Najib jarang berpolemik apa lagi berdebat secara terbuka. Di sinilah kebijaksanaan Najib tidak membuka dadanya untuk ditikam musuh. Najib tidak responsif kepada tuduhan dia sebagai pengecut atau dayus.

Di sinilah kekuatan yang ada kepada Najib. Perhatikan dalam serangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya, dia banyak mendiamkan diri dan menjawab sekadar untuk tidak dikatakan dia sudah kehilangan suara. 

Perhatikan sahaja jawapan menerusi temu bual khas di TV3 yang dirakam dan diedit terlebih dahulu.

Jawapan diberikan Najib terhadap persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir dan orang ramai tidak dijawab secara tuntas, sebaliknya disentuh sambil lewa dan bersahaja sahaja. Cara Najib itu menambahkan rasa jengkil orang terhadap, tetapi sekali lagi dia tidak ambil kisah.

Selain stail dan sifat semula jadi, Najib banyak mendapat perlindungan arwah bapanya. Dia menjadikan dirinya legasi Tun Abdul Razak Hussein dalam politik. Jasa, budi dan penggenangan orang kepada arwah bapanya dijadikan sebagai penangkis tuduhan orang ke atasnya. 

Kehebatan bapanya banyak membantunya. Najib sedar cara itu satu tindakan naif, tetapi dia tetap melakukannya juga kerana dengan cara itu orang (baca Umno) terus menghormatinya. Sebab itu acap kali Najib menyebut nama ayahnya dalam syarahan untuk mengembalikan nostalgia Razak.

Melihat kepada situasi dan kondisi itu bukan senang untuk menyingkirkan Najib. Dalam Umno sendiri seperti mana kata Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan Najib. 

Ketua bahagian dan wakil rakyat terutamanya ahli Parlimen menjadi ayam ternakan kepada Najib. Mereka tidak berani kerana sudah selesa dengan keadaan yang ada, sementara kertas ugutan sentiasa berlegar di hadapan mereka. Bila-bila masa saja mereka akan diambil tindakan kalau melencong daripada tidak menyokongnya.

Najib mengambil stail dan taktik Dr Mahathir dalam usaha mengukuhkan kedudukannya serta dijadikan modal sokongan. Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri, dalam agenda mengukuhkan kedudukannya menggunakan kesalahan dan rasuah dilakukan menteri dan orang politik sebagai sandaran atau aset agar mereka terus menyokongnya. 

Kalau mereka menampakkan untuk melencong, segala rahsia kesalahan itu akan didedah dan diambil tindakan. Jadi politik ugut yang Dr Mahathir kata dipraktikkan oleh Najib dia terlebih awal melaksanakannya.

Dengan usaha dan tindakan dilakukan Dr Mahathir kini sukar menjatuhkan Najib. Cuma ada satu formula sahaja untuk menjatuhkan Najib dari kerusi perdana menteri, dan formula ini juga agak berat untuk dilakukan Dr Mahathir kerana ia menyentuh soal maruahnya. 

Caranya ialah Dr Mahathir perlu berkolaborasi dengan dua orang yang pernah dimusuhinya, iaitu Anwar dan Tengku Razaleigh. Kedua-dua orang ini dianggap menjadi mangsa politik Dr Mahathir. Tetapi dalam politik seteru boleh bersatu demi menjatuhkan seteru lain.

Bagi saya Anwar tidak ada masalah begitu juga dengan Tengku Razaleigh untuk berpakat dengan Dr Mahathir bagi menjatuhkan Najib. Anwar boleh menjadi kuasa tawar menawar dalam hal ini dan beliau boleh mengarahkan pengaruhnya di sana untuk mendukung cita-cita Dr Mahathir. 

Yang penting pembebasannya. Apa yang Anwar inginkan ialah pembebasannya dari penjara. Kalau dengan penyingkiran Najib, beliau boleh bebas, dengan siapa pun Anwar sedia bekerjasama. Anwar sangat menanti siapa yang boleh memecah pateri kunci penjaranya.

Demikian juga dengan Tengku Razaleigh akan berangan mengutip laba untuk dirinya. Kalau Dr Mahathir sedia menjanjikan orang menggantikan Najib adalah Tengku Razaleigh, bila-bila masa beliau bersedia menyingsing lengan baju untuk memberi kuasa tambahan kepada Dr Mahathir. 

Ada logiknya kalau formula atau pakatan ini berlaku. Tengku Razaeigh boleh menjadi perdana menteri, kemudian bebaskan Anwar, selepas Anwar diberi peluang bersyarat, Anwar akan mengambil Mukhriz menjadi perdana menteri, kalau ia tidak logik sekurang-kurang untuk hiburan Dr Mahathir. Saat ini Dr Mahathir memerlukan pasukan pancaragam. Bolehkah?

Apakah Dr Mahathir sedia untuk menjilat ludahnya untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan pengaruh Anwar dan menjadikan Tengku Razaleigh sebagai panglima? Dalam politik tidak ada yang mustahil. 

Dr Mahathir sebagai seorang politik yang berani tidak tahu berputus asa dia akan melakukan apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Bagaimana dia mengorbankan Anwar, Tengku Razaleigh, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, begitulah dia akan kerjakan Najib.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .