» » Najib Razak seorang yang licik dan berjaya menipu Dr Mahathir


Elok juga Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak berbalas tembak membela diri masing-masing, setidak-tidaknya boleh meringankan kepala daripada ditimpa beban cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6%. Sekian lama Najib mengambil keputusan untuk tidak menjawab mulut Dr Mahathir, akhirnya terpaksa juga membuka kunci mulutnya.

Barang kali Najib itu pun naik bengang apabila Dr Mahathir tidak henti-henti melepaskan Scud gertakannya.

Semuanya terluah menerusi temubual khas yang dirakamkan terlebih dahulu kemudian baru disiarkan oleh TV3 dua tiga malam lepas. Kenapa tidak RTM, sebab kononnya TV3 mempunyai penonton yang ramai dan ia tidak dilihat sebagai stesen televisyen rasmi kerajaan, maka Najib memilih TV3. Walhal TV3 lebih rasmi daripada RTM. Cara Najib itu juga menunjukkan RTM sudah tidak ada kelas lagi. Bukan media propagandis terbaik untuk Najib.

Antara TV3 dan RTM juga sudah terbalik dari segi kebebasan dan kerasionalannya.

Walaupun penjelasan dan jawaban Najib tidak memuaskan hati banyak orang, tetapi itulah jawaban Najib. Hanya itulah kemampuan anak Tun Razak Hussein. Najib boleh mendabik dada kononya dia sudah menjawab dan memberi penjelasan, kendati pun jawaban dan penjelasan Najib Razak itu bertaraf sampah sahaja.

Saya percaya , kebanyakan orang mendengar rakaman temubual khas itu menyampah dengan Najib Razak, kecuali mereka yang sudah dikunci seluruh pancara indranya.

Pun begitu Dr Mahathir memberi reaksi juga kepada jawaban Najib itu. Terbaharu, Dr Mahathir bercakap mengenai jambatan bengkok yang dikatakan Najib, Dr Mahathir kecewa kerana jambatan bengkok itu tidak dibina. Dr Mahathir membalas balik mengatakan dakwaan Najib itu tidak betul.

Tetapi dalam frasa ayat sama Dr Mahathir mengatakan Najib berbohong dan mungkir janji mengenai hal itu. Katanya semasa projek itu dicadangkan Najib bersetuju dan berjanji akan melaksanakan beberapa dasar-dasar yang digubal semasa beliau jadi perdana menteri.

Saya suka untuk meneliti mengenai perkara ini. Apakah Najib memberi pengakuan akan bina jambatan bengkok itu apabila dia mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin begitu. Maka Dr Mahathir berusaha keras menyerang Abdullah untuk membolehkan Najib menjadi perdana menteri seterusnya membina jambatan bengkok.

Macam nak rak Dr Mahathir menyerang Pak Lah siang dan malam sehinggakan tidak ada masa rehat langsung. Hasilnya Pak Lah jadi bengong lalu mengambil keputusan meletakkan jawatan, kemudian diserahkan kepada Najib. Dr Mahathir berjaya menjatuhkan Pak Lah dan Najib berjaya menjadi perdana menteri.

Ironisnya dalam hal ini, Najib tidak menggunakan kejayaanya jadi perdana menteri itu untuk membina jambatan bengkok yang Dr Mahathir kata dijanjikan Najib itu. Dalam hal ini jelas yang cerdik ialah Najib kerana berjaya menjadikan Dr Mahathir alat untuk menyerang Pak Lah dengan janji (politik) nak bina jambatan bengkok. Secerdik-cerdik Dr Mahathir, Najib berjaya juga menipu bekas perdana menteri itu.

Benarlah kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhir ke tanah jua. Itik sehebat mana kalis bulunya tetapi akhirnya daging direbus juga. Betulkah peribahasa baharu ini?

Mengenang kisah jambatan bengkok menjadi projek idaman Dr Mahathir ini ia tidak sama dengan kisah jambatan emas seperti mana disuruh oleh Puteri Gunung Ledang kepada Tun Mamat. Puteri Gunung Ledang meminta Tun Mamat agar Sultan Melaka membina jambatan emas dari gunung Ledang ke Istana Melaka sekiranya sultan itu mahu memperisterinya.

Apa disuruh Puteri Gunung Ledang itu sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Ia adalah helah untuk menolak peminangan Sultan Melaka itu. Itu sahaja. Apakah Najib juga menggunakan terma atau formula Puteri Gunung Ledang, berjanji hendak membina jambatan bengkok kerana mengharap Dr Mahathir menyerang Pak Lah?

Kalau benar begitu, maka Najib berbuat sama dengan apa dibuat Puteri Gunung Ledang tetapi versinya agak songsang sedikit.

Sultan Melaka gagal menyiapkan jambatan itu, maka dia gagal memiliki Puteri Gunung Ledang, manakala Najib tidak membina jambatan bengkok itu, tetapi dia berjaya mendapat jawatan perdana menteri. Ternyata Najib sama licik dengan Puteri Gunung Ledang.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .