Tan Sri Muhammad Muhd Taib meyakinkan Tun Dr Mahathir Mohamad beliau tidak keseorangan dalam mempersoalkan kecelaruan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kerana katanya, majoriti senyap rakyat tetap bersama bekas perdana menteri itu.
Bekas naib presiden Umno itu, yang kini ahli PAS, berkata banyak persoalan yang masih gagal dijawab Najib walaupun kesemua sayap parti Melayu itu menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan.
“Dr Mahathir bukan sendirian. Majoriti besar mengikuti, dan apa yang ditanya Dr Mahathir belum dijawab, malah perdana menteri mencari penyokong untuk menunjukkan kekuatannya.
“Tak ada apa yang nak disorakkan sebenarnya. Saya rasa majoriti senyap ini memerhati dan mereka mendengar apa yang disuarakan Dr Mahathir,” kata Muhammad dalam wawancara bersama The Malaysian Insider.
Dr Mahathir menerusi tulisan di blognya semalam berkata beliau merasakan dirinya bersendirian dalam mempersoalkan pentadbiran perdana menteri terutama berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, katanya, tidak salah beliau bertanya mengenai hal berkenaan kerana pelaburan 1MDB menggunakan wang rakyat.
“Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah? Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya?
“Hakikatnya wang 1MDB ada di mana masih tidak dijawab, kata Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik,” katanya menerusi blognya, chedet.cc
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, Najib dan Putrajaya perlu melihat teguran Dr Mahathir secara positif kerana terlalu banyak petunjuk yang menunjukkan negara tidak berada di landasan betul.
Katanya, selama 11 tahun di bawah pentadbiran Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu tidak menegur secara membabi buta sebaliknya mahu melihat perubahan dan kebaikan.
“Misalnya mata wang jatuh, sukan bola sepak kita di tangga 164, pelajaran pun jatuh. Kita patut dengar apa yang ditegur Dr Mahathir.
"Saya lama di bawah Dr Mahathir, 11 tahun. Dr Mahathir kalau dia tegur sesuatu itu punyai asas. 1MDB, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pelbagai lagi isu, mempunyai asas,” katanya.
Beliau yang dilihat masih mempertahankan bekas ketuanya walaupun ketika ini di barisan pembangkang, turut menyelar tindakan Pemuda Umno yang menjulang Najib pada Isnin kerana menurutnya banyak persoalan Dr Mahathir belum dijawab.
Datuk Seri Najib Razak ketika dijulang pemimpin Pemuda Umno, Isnin lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 April, 2015.Beliau mendakwa, apa yang dilakukan Pemuda Umno hanya lakonan kerana lebih ramai yang menyatakan bantahan dan tentangan terhadap kepimpinan Najib.
“Apa yang ramai-ramai Pemuda ini angkat perdana menteri seolah-olah kita berjaya dan pemenang. Adakah kita juara sebenar?
“Tak payah kita nak bersorak. Kita nak lihat hasil. Kalau banyak perkara tak bagus, macamana kita nak bersorak?
“Soalan Dr Mahathir belum lagi dijawab. Julanglah macam mana pun, soalan tak selesai lagi,” katanya.
Muhammad yang juga mesra dengan panggilan Mat Taib mendakwa Umno kini berada dalam sindrom penafian, sombong dan bongkak, dan ia menunggu saat kejatuhan.
Katanya, kenyataan beberapa pemimpin Umno mempertahankan Najib dan tidak menghargai nasihat Dr Mahathir adalah mengecewakan.
“Pendekatan yang dibuat terhadap Dr Mahathir mengecewakan. Sepatutnya kita berterima kasih atas teguran ini. Bekas pemimpin kita yang sangat berjaya membawa negara ke taraf perindustrian.
“Apabila beliau menegur, sepatutnya mesti diterima. Jangan ditohmah, ditangkap atau disiasat. Ini tidak akan diterima orang. Ini perbuatan yang sangat biadap,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata Dr Mahathir tidak seharusnya menerima layanan sedemikian kerana Najib sendiri gagal memberikan jawapan komprehensif ketika ditemu bual TV3.
Katanya, sudah tiba masa Barisan Nasional (BN) menyerah tampuk pemerintahan kepada parti yang lebih layak dan mereka yang lebih muda menerajui negara.
“Dia (Najib) lari dari persoalan utama. Dia tak faham apa yang disoal, diisukan Dr Mahathir. Macam tak ikuti atau tak baca. Dia tak bersedia. Dia hanya jawab permukaan saja. Persoalan utama tak jawab.
“Najib kena jawab bahagian-bahagian yang tepat. Ini macam umum saja.
“Jika BN tak mampu, banyak parti lain. Kita banyak pemimpin muda berkaliber dan bersedia. Itu kena praktikal dalam ketika ini kerana pentadbiran negara perlu diteruskan. Orang yang baik perlu memerintah,” katanya.
sumber
No comments: