Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), dengan kerjasama gerakan pelajar menganjurkan kempen jelajah bantah cukai dan perkhidmatan (GST) yang bertujuan mengumpul tandatangan bagi menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Gamis, Imran Ishak berkata kempen bantah GST itu bermula pada 16 April lalu dengan jelajah pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bagaimanapun, Imran mendakwa program tersebut berlangsung dalam keadaan agak tegang apabila mereka dihalang mengadakan pidato dan mengumpul tandatangan di sebuah dataran laluan orang ramai di dalam kawasan kampus.
"Kami dihalang, pegawai keselamatan tidak membenarkan mahasiswa berpidato dan meminta kami tukar ke tempat lain yang tidak ramai orang.
"Kami amat marah dengan insiden tersebut. Kenapa mereka mahu menghalang kami?
"Kalau kami tak kisah dengan kempen terima GST sehingga membawa menteri masuk beri penerangan, kenapa mahu halang kami dengan kempen bantah GST ini?" soalnya pada satu sidang media di Universiti Malaya hari ini.
Imran kemudiannya memberitahu The Malaysian Insider, mereka mensasarkan 10,000 tandatangan yang akan diserahkan pada 30 April, sebelum perhimpunan mega bantah GST 1 Mei ini.
"Kita akan hantar petisyen ke Jabatan Perdana Menteri. Kalau Najib tidak mahu terima, kita serahkan kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan," katanya.
Imran berkata, mereka akan meneruskan program jelajah universiti bantah GST itu malam ini di Universiti Malaya, pada 27 April di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan 28 April di Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Kita seru mahasiswa datang menyertai kempen bantah GST dan jelajah ini. Yang paling menjadi tumpuan tentunya di UiTM. Mahasiswa UiTM boleh ramai-ramai turun bawa tong gas dan kuali," katanya dengan nada sindiran.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan 'masak makanan sendiri' yang dibuat Ahmad apabila diajukan soalan oleh mahasiswa UiTM dalam satu forum penerangan GST pada 11 April lalu, yang menimbulkan kecaman orang ramai.
Selain Gamis, sebanyak 11 gerakan mahasiswa terlibat dengan jelajah itu termasuk Lensa Kampus, Lensa Anak Muda dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (UM).
Menurut Presiden PMIUM Khairol Najib Hashim, kumpulan itu yakin program yang dianjurkan mereka itu akan mendapat sambutan menggalakkan dari mahasiswa.
"Sejak GST dilaksanakan mulai 1 April, ramai yang terbeban, terutama mahasiswa. Jadi, kita yakin isu ini amat kuat dan mendapat perhatian orang ramai.
"Kesusahan ini berperingkat. Contohnya, ibu bapa kini terbeban dengan GST dan kesannya kepada anak mereka juga, yang bergantung kepada mereka untuk membiayai pengajian," katanya.
Khairol berkata, walaupun desakan rakyat begitu kuat menentang GST, kerajaan tetap berdegil tidak mahu memansuhkannya, maka keadaan ini katanya akan menyaksikan kebangkitan rakyat.
sumber
No comments: