headlines

    2:03 PM
» » 'Ketirisan dan rasuah yang menggila punca Malaysia gagal ditadbir dengan baik'


Malaysia dengan pentadbiran yang sedia ada masih belum mencapai ciri-ciri sebuah tadbir urus yang baik atau 'good governance' kerana ia gagal menangani masalah rasuah dan ketirisan, kata bekas timbalan menteri Umno Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, contohnya dengan memberi penekanan kepada penggunaan sistem e-perolehan dan e-bidaan supaya kadar rasuah dan ketirisan dapat dikurangkan.

"Infrastruktur untuk 'good governance' ini sudah disediakan. Contohnya, program transformasi kerajaan (GTP), di mana salah satu bidang keutamaannya ialah membasmi rasuah.

"Infrastruktur sedia ada lain yang boleh dimanfaatkan ialah sistem atau teknologi e-perolehan dan e-bidaan. Saya difahamkan, ia sudah menjadi dasar supaya digunakan oleh agensi kerajaan.

"Tetapi soalnya, berapa peratus sistem itu digunakan oleh semua agensi kerajaan? Jika dilaksanakan sepenuhnya, kita akan dapati kadar rasuah dan ketirisan akan berkurangan dengan sendirinya," kata ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu.

Beliau berkata demikian pada satu sesi bual santai bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dalam program yang dinamakan Grand Discoffee malam tadi.

Katanya, langkah terbaik mengatasi isu ketirisan dan rasuah negara ialah dengan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kerajaan.

"Sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri atau tempatan atau institusi, ia melibatkan duit rakyat. Mesti memastikan keberkesanan dalam tugas kita.

"Beberapa dasar sudah dimulakan di bawah GTP. Tetapi tidak tahulah sejauh mana ia diteruskan," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya satu tempoh tertentu ditetapkan bagi semua agensi kerajaan membuat persediaan sepenuhnya bagi melaksanakan GTP.

"Dan diisytiharkan, mulai satu tarikh, tiada lagi kompromi," katanya.

Seorang lagi panel jemputan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, melalui pendedahan laporan ketua audit negara setiap tahun, dapat dikesan terlalu banyak ketirisan, pembaziran dan penyelewengan dalam kerajaan.

Ia sekali gus menjawab persoalan sekiranya pentadbiran kerajaan sedia ada mempunyai ciri-ciri sesebuah tadbir urus yang baik.

"Laporan tahunan ketua audit mendedahkan berlakunya banyak ketirisan, pembaziran, penyelewengan. Ini menunjukkan kerajaan kita terlalu leka, dan perkara tadbir urus ini memang ada banyak ruang untuk dipertingkatkan," katanya.

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu berkata ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menambahbaik 'good governance.'

"Kalau nak dipertingkatkan tidak susah... contohnya seperti langkah yang diambil Pulau Pinang dengan dasar tender terbuka, mengisytiharkan aset secara terbuka, tidak membenarkan wakil rakyat atau keluarga mereka berurusan dengan kerajaan untuk mendapat kontrak kerajaan dan sebagainya.

"Itu antara usaha kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera oleh kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau juga menyeru agar kerajaan Persekutuan mengurangkan elemen orang tengah seperti yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang, kerana katanya, konsep orang tengah hanya menyumbang kepada peningkatan rasuah dan disifatkan sebagai berat sebelah.

"Kalau hendak cerita pasal prestasi kerajaan Persekutuan. Banyak ketirisan yang sepatutnya boleh dibendung, seperti perbelanjaan untuk Istana Negara dan klia2.

"Kerajaan kita harus elakkan kerajaan monopoli. Yang dipanggil 'state monopoly capitalism'," katanya yang menganggap konsep tersebut tidak cekap.

Diskusi yang dianjurkan oleh pelajar universiti tersebut, sepatutnya dimulakan jam 8.30 malam tetapi tergendala kira-kira 30 minit ekoran anggota keselamatan universiti yang cuba menghalang ia dijalankan.

Menurut presiden Discoffee, Adam Roslan, ia merupakan kali pertama diskusi seperti itu diganggu pihak keselamatan.

Adam berkata, diskusi tersebut bertujuan memberi pencerahan kepada pelajar mengenai isu semasa yang berbangkit pada masa kini dan tidak ada sebarang tujuan politik.

Sebelum ini, mereka pernah menjemput Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan Lokman Adam berdiskusi mengenai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Tujuan asal bukan untuk berpolitik tetapi untuk mendidik dan membudayakan ilmu di universiti. Pihak universiti tidak ada masalah, tetapi pihak keselamatan.

"Ini pertama kali kami diganggu. Sedangkan semasa sesi Ong dan Lokman, kami tidak pernah diganggu," katanya.






About Izikit

«
Next
Harga topup prepaid tidak dikenakan GST bermula 1 Mei 2015
»
Previous
'Ahmad Maslan apa pun tak tahu sebenarnya tentang kewangan dan ekonomi Malaysia'

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .