» » Gesa kerajaan halang akhbar siarkan wawancara dengan Jho Low


Pemuda Umno Kedah mendesak Putrajaya menghentikan langkah akhbar The Edge Financial Daily yang merancang untuk menyiarkan wawancara penuh ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho bersama majalah perniagaan antarabangsa, Euromoney .

Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan langkah menyiarkan wawancara Low yang dikenali sebagai Jho Low menimbulkan persepsi negatif ke atas syarikat pelaburan dana strategik negara yang menanggung hutang RM42 bilion itu.

"Wawancara itu dilihat mempunyai unsur-unsur yang boleh menimbulkan persepsi negatif mengenai 1MDB, sekaligus mengganggu proses audit yang sedang dilakukan," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, media menyiarkan laporan wawancara Low, yang tampil secara terbuka mengkritik Umno kerana cuba menyalahkannya dalam kemelut melanda 1MDB.

Low dalam wawancara bersama majalah kewangan antarabangsa Euromoney dilaporkan berasa kecewa dipersalahkan sebagai punca skandal kewangan 1MDB.

Beliau bagaimanapun berkata, dirinya semestinya adalah "orang paling dungu" jika memperoleh hasil wang kerajaan Malaysia dan membelanjakannya untuk parti mewah.

"Disebabkan gambar saya dan Paris Hilton berparti, kamu jadikan isu Bumiputera: 'Oh, orang Cina itu curi semua duit dan bazirkannya dengan alkohol'.

"Saya fikir saya tentunya orang paling dungu, jika saya dapat wang kerajaan dan belanja sesuka hati, itu perkara paling dungu," katanya dalam temubual dengan majalah kewangan Euromoney edisi April.

Katanya, dirinya menjadi mangsa politik Malaysia apabila dijadikan sasaran utama, sedangkan pihak lain yang bertanggungjawab terlepas daripada tindakan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia terpaksa bersuara kerana berasa isu 1MDB semakin mengarut.

"Mereka menuding jari ke arah saya seolah-olah cuba mengatakan: 'Ini semua salah anak muda Cina ini. Disebabkan dia, 1MDB gagal kerana dia yang menasihati PM dan sekarang semuanya gagal'."

Low pada Mac lalu menafikan terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dalam 1MDB.

Katanya, hala tuju 1MDB diputuskan dan diluluskan sepenuhnya mengikut rangka pentadbiran korporat, yang melibatkan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.

"Jadi kenapa mempolitikkannya dan cuba menyalahkan saya sedangkan saya tidak ada kuasa membuat keputusan?"

Low ketika ditemu bual Euromoney di Hong Kong juga menyalahkan Umno menjadi dalang cuba memutarbelitkan isu.

Wawancara dengan Low bersama Euromoney bagaimanapun sudah disiarkan akhbar berkenaan hari ini.

Susulan laporan semalam, Low dikecam hebat pemimpin Umno yang menggesa supaya beliau pulang ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Isu 1MDB mencetuskan pelbagai kritikan terhadap Putrajaya, malah belas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga lantang mempersoalkan ketelusan syarikat pelaburan negara tersebut.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .