» » 'Berfikir ialah nikmat yang semakin pupus di kalangan orang Malaysia'


Nikmat berfikir merupakah anugerah terbesar yang dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menggalas anugerah ini dan menggunakannya sebaik mungkin. Budaya berfikir di kalangan remaja dan rakyat Malaysia semakin hari semakin menduka citakan.

Saya tidak tahu apakah punca berlakunya perkara sebegini atau kepada siapa rencana ini ditujukan kerana terlalu banyak faktor yang menjadi punca kepupusan budaya berfikir dan terlalu banyak individu yang perlu dikejutkan dari dibuai kealpaan. Saya juga tidak boleh menunding jari kepada sesiapa untuk dijadikan kambing hitam.

Tujuan utama saya menulis rencana ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua berfikir memainkan peranan yang sangat mustahak dalam membina ketamadunan manusia, dan perlu diterapkan agar tidak terus hilang seterusnya melahirkan individu yang menerima dan mengaplikasikan ilmu secara membuta tuli dan mengambil ilmu yang dipelajari sekadar kerana ia perlu dipelajari tanpa memanfaatkan umat manusia.

Masalah utama yang perlu kita lihat adalah mengenai kekurangan ilmuan di negara kita sehinggakan kita tidak mampu untuk mencapai kemajuan bertaraf dunia seperti menghantar angkasawan, penemuan-penemuan saintifik mahupun pembangunan dari segi teknologi dan bidang ilmu. Malaysia kehausan ilmuan yang berfikir tentang masa hadapan dan mencari pengelesaiannya. Lebih mengecewakan, kita gemar untuk mengambil ilmu dari luar bulat-bulat tanpa melakukan sebarang kajian lanjut mahupun melihat ilmu tersebut dari sudut yang berbeza.

Apakah yang menyebabkan perkara ini terjadi sedangkan saban tahun, peratusan dan jumlah pelajar cemerlang di dalam pelbagai peperiksaan seperti SPM, STPM dan sebagainya semakin meningkat? Apakah yang terjadi kepada pelajar yang cemerlang di setiap peperiksaan ini? Malaysia menghasilkan ramai pelajar dan graduan yang mempunyai pencapaian yang sangat membanggakan, namun apakah alasan kegagalan Malaysia dalam melahirkan individu yang mampu berfikir di luar konteks buku teks dan kelas?

Sebolehnya, saya tidak mahu sama sekali untuk membandingkan mana-mana negara luar dengan Malaysia, namun saya berpendapat jika tidak dibandingkan, bagaimana kita hendak mengesan kelemahan kita ini, justeru, ambillah perbandingan ini sebagai langkah yang boleh diadaptasikan dalam kehidupan seharian kita walaupun tidak diajar di sekolah dan universiti. Perbandingan saya ini diambil dari pengalaman saya belajar di negara-negara ini dan juga sepanjang pemerhatian saya ketika mengembara.

Proses pendidikan di Amerika Syarikat misalnya sangat mementingkan kajian-kajian terkini dan idea-idea bernas yang dikaji secara mendalam. Kebebasan berimaginasi diberikan kepada pelajar supaya sudut pandangan mereka tidak terhad kepada sesuatu perkara sahaja tanpa melihat hubungkaitnya dengan aspek-aspek lain. Kebebasan ini bukan sahaja membolehkan pelajar melihat topik tersebut dari pelbagai segi, malah membuka mata pelajar kepada kepelbagaian aplikasi ilmu dan variasi kesan dan penemuan hasil daripada kebebasan ini. Perkara ini diterapkan kepada pelajar sejak dari sekolah rendah lagi.

8. Adakalanya, kajian dan idea-idea ini tidak pernah dilihat sebagai sesuatu yang penting atau memberi manfaat, tetapi apabila aspek ilmu dan kreativiti berfikir digunakan, ia mampu memberikan penemuan yang mengkagumkan kerana ianya menggabungkan pelbagai bidang ilmu dan fungsi yang tidak dijangka boleh digabungkan. Semua ini bermula dengan penerapan sifat bertanya tentang kenapa? mengapa? bagaimana? siapa? bila? dimana? dan siapa sangka, dari soalan-soalan ringkas ini, setiap tahun, pelajar pelajar yang belum tamat pengajian sudah mampu menghasil ciptaan dan penemuan baru.

9. Kaedah pembelajaran di Malaysia pula lebih pasif dan tidak melibatkan banyak aktiviti berfikir. Pelajar perlu menghadiri kuliah, menyelesaikan beberapa tugasan, mengambil kuiz dan ujian kemudiannya menduduki peperiksaan akhir. Di universiti tempatan, tugasan yang paling berat adalah tugasan seperti membuat presentation mengenai topik yang diberikan di mana topik-topik tersebut sudah sedia ada di dalam buku teks. Pelajar hanya perlu membuat ringkasan dan membentangkannya supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih pantas untuk menghabiskan silibus semester berkenaan. Pelajar cenderung untuk fokus hanya pada ilmu yang terdapat pada buku teks sahaja.

10. Daya fikir pelajar di Malaysia tidak diuji secara lebih kritikal melalui kaedah kajian dan penyelidikan di luar spesifikasi dan rangkuman silibus. Rata-rata topik, isu dan eksperimen yang dijalankan adalah perkara yang sama saban tahun di mana outputnya boleh diperolehi di laman sesawang ataupun dengan bertanya kepada pelajar semester lepas. Adakalanya, output sebuah kajian yang dilakukan di Malaysia sudah boleh diagak dan disiapkan terlebih dahulu sebelum ke makmal dan menjalankan eksperimen sebagai cukup syarat.

Adakah sistem pendidikan negara yang membuatkan pelajar menjadi pasif dan kurang berfikir menyebabkan kita sukar mendapat pelajar dan graduan yang boleh berfikir di luar zon selesa? Adakah ia salah pelajar itu sendiri kerana tidak mempunyai usaha untuk keluar dari kawasan selamatnya dan melihat ilmu yang diperolehi pada skala yang lebih besar?

Adakah budaya dan latar belakang juga boleh dipersalahkan kerana menganggap mereka yang berfikiran jauh kedepan dan "kuat berangan" sebagai pelik dan tidak memberi manfaat? Patutkah ibubapa dipersalahkan kerana tidak memberi pendedahan awal kepada anak-anak untuk berfikir secara lebih mendalam, kreatif dan kritis dalam menjalani kehidupan seharian mahupun dalam aplikasi ilmu tidak kira ilmu dunia atau akhirat? Bolehkah juga agama dipersalahkan atas pandang larang yang digariskan?

Adakah media massa juga bersalah kerana sering memomokkan rakyat kita dengan berita dan perkara-perkana yang tidak menjana pemikiran masyarakat? Bagaimana pula dengan filem, drama dan lagu-lagu kita yang sentiasa berkisarkan tentang cinta, perlumbaan, hantu, dan lawak jenaka "bodoh" seperti mempersendakan orang lain, dan menjadikan sifat fikizal sebagai satu bahan gurau senda?

Saya percaya semua itu berkait rapat dan menjadi faktor penyebab rakyat Malaysia hari ini kurang berfikir. Adakalanya, saya hairan mengapa Malaysia tidak boleh menghasilkan sekurang-kurangnya drama seperti "The Big Bang Theory" yang menggabungkan ilmu sains yang lengkap dan terperinci, kehidupan semasa, kisah cinta dan lawak jenaka. Tidak adakah ahli sains yang mampu menghasilkan skrip yang mantap supaya drama-drama di Malaysia bukan berkisar kepada halangan cinta dan sendu tangis sahaja ataupun wujud jurang kerana seni adalah seni dan sains adalah sains?

Saya membuat rumusan awal penerbit dan orang di bidang kreatif ini yang perlu disalahkan kerana tidak menghasilkan bahan santai bermanfaat, namun tanggapan saya sama sekali meleset apabila filem arahan Yasmin Ahmad, atau Rewan Ishak tidak mendapat sambutan dari semua pihak sedangkan karya mereka mempunyai nilai kemanusian, agama, dan jalan cerita yang kreatif tetapi masih memerlukan penonton untuk berfikir. Mereka mempunyai 'crowd' mereka sendiri yang terdiri daripada individu yang dahagakan perubahan dalam filem Malaysia tetapi jumlahnya tidak ramai.

Usaha dari KRU Studios misalnya boleh menarik penerimaan rakyat terhadap filem yang mempunyai kesan khas seperti filem-filem luar, namun KRU Studios lebih gemar menghasilkan filem kesan khas yang baik, tetapi tidak diolah dengan bijak. Filem 'Magika' hasil tangan tiga beradik itu sepatutnya memberikan impak imagitif yang besar kepada kita untuk melihat lagenda-lagenda lama dari sudut yang lebih berteknologi malangnya dicemari dengan lawak-lawak tidak matang sehinggakan nilai keaslian terhapus terus malah seolah-olah menghina lagenda-lagenda.

Kita menjadi kurang minat untuk berfikir kerana sudah terbiasa untuk tidak bertanya lebih lanjut. Orang-orang yang gemar mempersoalkan sesuatu perkara acapkali dipandang jengkel seolah-olah menggambarkan "yang sudah tertulis itu, itulah dia, tidak perlu bertanya lanjut". Soalan-soalan taboo menyentuh hal-hal agama dan seks misalnya seringkali dielak orang dewasa dan kita dilarang menyoal ketentuan Tuhan atau hukum agama ataupun menyentuh dan berbincang isu-isu sensitif seperti hubungan kelamin.

Saya tidak boleh menyalahkan agama, terutamanya agama Islam, kerana ilmuan-ilmuan terhebat dan terawal dunia terdiri daripada orang Islam seperti Al- Khwarizmi, Al-Biruni dan Avicenna (Ibnu Sina). Kajian-kajian dan penemuan yang kita lihat hari ini adalah hasil dari kajian awal dan penemuan cendekiawan Islam ratusan tahun dahulu dan diolah, dikaji semula dan ditambah baik ilmuan barat masa kini.

Mana bukti rakyat kita kurang gemar untuk berfikir? Buktinya cukup mudah. Kita dapat lihat di laman-laman sosial, begitu ramai remaja dan orang dewasa Malaysia yang sewenang-wenang mempercayai sesuatu yang dikongsi, kemudiannya dikongsi pula kepada orang lain. Tiada usul periksa dilakukan, tiada validasi mahupun pertanyaan lanjut dalam berkongsi ilmu dan info.

Penyebaran fitnah, penggunaan bahasa yang salah walaupun ia merupakan Bahasa Melayu, penggunaan kata-kata kesat, perkongsian cerita-cerita rekaan yang palsu dan tidak tepat faktanya semakin menjadi-jadi. Perkara ini melahirkan insan-insan yang tidak peka akan kepentingan ilmu. Sebagai bukti, kita sering melihat pengguna di Facebook menggunakan petikan ayat-ayat Al-Quran dan hadis sebagai justifikasi kepada keadaan, hujah dan pendapat mereka yang dirasakan bersesuaian dan kedengaran sepadan dengan situasi yang ingin dibangkitkan.

Hal ini sangat merisaukan saya kerana rata-rata mereka yang melakukan perkara ini hanyalah menyambil petikan tersebut tanpa mengetahui latar belakang ayat tersebut, kegunaan, tafsiran literal dan tafsiran konseptualnya. Tidak salah untuk menggunakan ayat suci dan potongan hadis tetapi tidak semuanya boleh digunakan mengikut kesesuaian individu tanpa pemahaman yang mendalam ke atas ayat-ayat dan hadis tersebut.

Saya mengambil contoh remaja biasa yang bukan dari golongan genius, Jack Andraka. Seorang remaja biasa yang mempunyai keluarga terdiri dari orang biasa juga. Namun Jack dan abangnya diberikan pendedahan awal terhadap untuk bereksperimentasi. Mereka diberikan bilik khas dari kecil di rumah mereka untuk membuat apa sahaja.

Bermula dari eksperimen ringkas sebagai aktiviti keluarga, ia berkembang menjadi minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Jack Andraka merupakan remaja muda belasan tahun yang berjaya menemui dan mencipta alat pengesan kanser pankreas pada peringkat awal. Penemuan itu bermula hanya melalui tiga perkara. Jack kehilangan pakciknya akibat sakit barah pankreas, Jack mendapat tahu tiada cara untuk mengesan barah ini pada dua peringkat pertama, dan Jack mendapat tahu punca kanser ini. Tiga perkara ini membawa Jack kepada bacaan kajian lalu, mencari kelemahan dan mencari penyelesaian kepada kelemahan tersebut yang tidak dilihat sainstis sebelumnya. Hasilnya, Jack berjaya mencipta alat pengesan peringkat awal dengan kos serendah RM10.

Berfikir bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan. Ia bermua dari kecenderungan individu untuk mengetahui sesuatu. Kecenderungan inilah yang akan membawa mereka untuk terus mengetahui sesuatu dari pelbagai sudut secara lebih mendalam. Semakin banyak mereka befikir, semakin banyak persoalan yang akan timbul dan semakin banyak penyelesaian dan jawapan yang akan dicari.

Semakin hari, semakin banyak jawapan yang ditemui. Mereka tidak behenti di situ sahaja malah terus mencari persoalan dan hubungkait setiap jawapan yang mereka temui untuk mencari penemuan yang baru.

Masalahnya dengan Malaysia ialah pandangan masyarakat terhadap gred peperiksaan dan taraf pendidikan seseorang. Orang yang dianggap berilmu adalah mereka yang tamat belajar dengan cemerlang dan mempunyai gred yang tinggi. Malangnya, sifat ini mencorakkan budaya belajar bertuhankan peperiksaan semata-mata di mana ilmu yang dipelajari adalah untuk lulus cemerlang di dalam peperiksaan sahaja. Graduan univerisiti yang keluar mencari kerja tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam bidang mereka, ataupun mempunyai visi dalam menggunakan ilmu yang dipelajari sebelum itu.

Kebanyakkan rakyat tidak peka akan isu-isu global mahupun nasional kerana kurang pendedahan dan kurang mengambil tahu akibat tidak gemar membaca. Selain itu, pengetahuan am rakyat Malaysia juga terbatas kerana kita tidak mempunyai penghargaan terhadap nilai ilmu dan sejarah. Kita sering memandang enteng perkara-perkara lampau dan tidak berfikir mengenai pengajaran dari peristiwa-peristwa tersebut dan mengaitkan peristiwa lalu dalam menyambungkan titik titik persoalan yang terpisah antara satu perkara dengan perkara yang lain.

Pendedahan kepada dunia luar yang terlalu sedikit juga menjadi faktor rakyat Malaysia tidak mampu menilai dan membandingtarakan kelebihan dan kekurangan yang dimiliki. Kita sering berpendapat kita sudah berada di tahap yang selamat dan sudah cukup membanggakan sedangkan realitinya, situasi sebaliknya yang berlaku. Dunia masa kini giat menghasilkan rakyat celik ilmu yang berfikiran mantap dan berinovasi supaya dapat pergi lebih jauh.

Banyak negara sudahpun menghantar angkasawan dan melibatkan diri dalam program eksplorasi angkasa namun Malaysia masih belum mampu untuk menghasilkan seorang angkasawan untuk tujuan tersebut. Pemergian Dr. Sheikh Muszaphar merupakah permulaan yang baik, namun usaha itu terus terpadam sehingga kini seolah dilupakan.

Kerugian yang amat besar bagi mereka yang tahu membaca, tetapi tidak gemar membaca, tahu mengaji tetapi tidak mahu mengaji dan boleh berfikir tetapi tidak mahu berfikir. Generasi kita sepatutnya sudah dipersiapsediakan untuk cabaran yang lebih dasyat di masa hadapan seperti eksplorasi di planet-planet luar, penyelesaian terhadap masalah alam sekitar yang semakin membimbangkan dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah berskala besar yang melibatkan ketamadunan manusia.

Perkembangan ilmu akan menjadi semakin lemah jika kita tidak kembali menlazimi budaya berfikir. Malaysia tidak boleh terus mencedok ilmu luar dan mengaplikasikannya sahaja tanpa sebarang penghasilan ilmu asli mahupun kajian lebih terperinci terhadap ilmu-ilmu yang sedia ada.

Negara seperti Jepun misalnya bukanlah sebuah negara yang maju dan bijak ataupun mahir berbahasa Inggeris. Mereka mengambil dan mempelajari semua ilmu hasil penemuan barat kemudian dialih bahasa ke dalam bahasa Jepun supaya boleh difahami umum kemudiannya meneruskan kajian itu.

Adakalanya saya terfikir, adakah kesenangan negara yang membuatkan kita semakin tepu untuk menggunakan akal dan minda kita? Rakyat di negara-negara yang menderita dan mengalami kesusahan begitu taksub dengan ilmu dan menghargai setiap usaha untuk memberi ilmu kepada mereka. Anak-anak kecil dan remaja berkumpul di atas tanah merah untuk mendengar guru sukarelawan mengajar di kem pelarian mereka. Ibu bapa pula berdiri di sekeliling kelas untuk turut mendengar. Mereka yakin melalui ilmu dan pemikiran, mereka mampu untuk melepaskan dari dari penderitaan ini. Kesusahan mengajar mereka untuk bangkit dan mencari jalan pengelesaian, namun kita yang sudah selesa, walaupun belum menjadi hebat, sudah duduk berehat dan melepaskan tanggungjawab kifayah.

Bagaimana lagi dapat kita bina empayar negara yang besar jika tidak melalui penjanaan ilmu dan buah fikiran dari anak-anak bangsa negara kita sendiri? Sehingga bilakah kita perlu bergantung pada tenaga kreatif luar untuk mereka bangunan tertinggi kita?

Sampai bilakah kita akan terus hanyut di dalam kesenangan yang kita ada untuk berbicara mengenai perkara-perkara yang remeh seperti gosip hiburan terkini, masalah politik yang tidak berkesudahan dan masalah perkauman dan agama sedangkan semua perkara ini boleh diselesaikan jika kita mengambil masa untuk berfikir tentangnya secara mendalam. Jika tidak, kita bukan sahaja akan menemui jalan penyelesaiannya, malah kita akan menemui cara untuk menjadikan perkara-perkara ini sebagai suatu yang kita boleh banggakan di mata dunia.

Mulai hari ini, selain daripada kita mengejar martabat peribadi di mata masyarakat melalui jumlah gaji, jumlah A yang diperolehi, adalah lebih baik untuk kita mula berfikir tentang pelbagai kebarangkalian masa hadapan dan mula mencari jawapannya secara perlahan-lahan. Mulakan dahulu dengan perkara yang kecil dan luangkan sedikit masa dalam 24 jam yang kita ada setiap hari untuk kita mencari sesuatu diluar pengetahuan kita.

Lihatlah ilmu yang kita perolehi dari sudut yang lain dan cubalah untuk mencari altenatif untuk menjadikanya sebuah manfaat dan pelaburan masa depan.

Jika tidak dapat mencipta sesuatu sekalipun, kita mendapat manfaat dari ilmu yang kita perolehi itu. Orang yang berfikir dan berilmu tidak pernah rugi.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .