Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong menyifatkan kekeliruan dalam pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya untuk jangka masa pendek, sambil menegaskan ia cabaran yang perlu dihadapi Putrajaya dalam memperkenalkan cukai kontroversi tersebut.
Chua mengakui pada peringkat awal, pelbagai masalah akan dihadapi khususnya kurang penjelasan berkaitan dengan proses dan jenis barangan yang akan dikenakan cukai itu.
"Daripada apa yang saya faham selepas berkongsi dalam forum dengan negara yang melaksanakan GST, mereka memberitahu akan terdapat cabaran yang perlu ditangani, akan terdapat masalah pelaksanaan, tidak jelas dan setengah mungkin mempunyai tafsiran sendiri.
"Jadi ini cabaran yang kita akan hadapi," kata Chua semasa sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.
Bagaimanapun, Chua berkata beberapa langkah sudah diambil untuk menangani masalah yang bakal dihadapi, antaranya pihak kastam sudah menambah pegawai untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan serta memperkenalkan tempoh penasihatan selama 2 tahun untuk perniagaan menyesuaikan diri.
"Untuk hadapi cabaran ini pihak kastam sudah menambah pegawai dan juga kita memperkenalkan tempoh penasihatan pada peringkat awal GST diperkenalkan," katanya.
Chua berkata, semua cabaran ini hanya untuk tempoh jangka masa pendek.
"Untuk tempoh jangka masa pendek, semua ini akan dihadapi oleh perniagaan, pengguna dan orang ramai," katanya.
Putrajaya bakal melaksanakan GST pada 1 April ini yang bertujuan menambah hasil pendapatan kerajaan tetapi ia ditentang pembangkang kerana sistem cukai itu dilihat membebankan rakyat.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi gambaran sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan merosot sekiranya orang ramai dibebani dengan cukai yang terlalu banyak yang diperkenalkan.
Pengenalan GST dikatakan bakal meningkatkan kos rawatan perubatan dan kesihatan, malah bahan api RON97 juga bakal dikenakan cukai tersebut.
Perniagaan dalam talian juga dikenakan cukai tersebut di samping beberapa barang keperluan asas lain yang juga dikenakan cukai GST.
sumber
No comments: