Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengkritik tindakan Putrajaya dalam memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mempersoalkan sama ada hasil yang dikutip daripada sistem percukaian baharu itu akan digunakan untuk membiayai hutang kerajaan.
Ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, cukai berkenaan akan menjadi tambahan beban untuk rakyat yang kini sudah terlalu banyak dibebani hutang susulan kemerosotan ekonomi negara.
"Di atas perkiraan inilah saya cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.
"Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat.
"Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon, tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan," katanya, ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ditanya pemberita sama ada pemiutang yang dimaksudkannya merujuk kepada pembayaran faedah pinjaman syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ku Li hanya berkata, "itu faham-faham sendirilah."
Menurut bekas menteri Kabinet itu, Putrajaya akan bertindak tidak adil sekiranya bebanan hutang itu disalurkan kepada rakyat tanpa sebarang sebab munasabah.
"Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil.
"Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini," katanya.
No comments: