Malaysia mungkin gagal merealisasikan Wawasan 2020 jika pencapaian ekonomi semasa dan tahap pengetahuan dalam pelbagai bidang tidak dipertingkatkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata ini kerana kemajuan bukan sahaja diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata sebaliknya kesediaan rakyat untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang.
“Kalau kita ada nisbah lima orang kaya dengan 1,000 orang miskin boleh dikira sudah baik.
“Jadi untuk capai sasaran ini, kita perlu majukan pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, industri serta pengetahuan.
“Macam-macam pengetahuan kita perlu ada untuk kita capai (status) negara maju,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata kelemahan ringgit tidak mencerminkan asas semasa Malaysia yang masih kukuh.
Katanya, negara berada pada kedudukan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, yang boleh dilihat oleh kekuatan asas-asas yang mendasari sistem kewangan serta penampan melalui rizab kewangan dan kedudukan hutang luar negeri yang boleh diurus.
Hutang luar negeri jangka pendek Malaysia berjumlah RM359.1 bilion atau 33.6% daripada KDNK pada suku tersebut.
Zeti berkata bank pusat tidak bergantung kepada kadar pertukaran untuk mengendalikan dasar monetari.
"Instrumen asas dalam dasar monetari ialah keupayaan pengawalan. Kita memilih kadar semalaman menjadi kadar dasar kita kerana ia mempunyai tahap tertinggi keupayaan pengawalan tahap oleh BNM.
"Kita berbuat demikian dengan pengurusan mudah tunai untuk mempengaruhi kadar yang sama," katanya memetik laporan Bernama.
Zeti berkata, pasaran kewangan domestik Malaysia terus stabil semasa perubahan arah yang besar dan kelemahan ringgit baru-baru ini dengan tidak menjejaskan pendasar aktiviti ekonomi dalam tempoh tersebut.
Katanya, keupayaan bank pusat untuk mengurus aliran modal yang tidak menentu disokong oleh adanya pelbagai instrumen dasar, fleksibiliti meningkat dan penampan yang mencukupi.
"Sistem perbankan kita juga kukuh dan kuat dan pasaran kewangan maju untuk menyerap dan mengantara perubahan dalam aliran modal," katanya.
No comments: