Presiden Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Lim Kok Cheong berkata, peniaga tidak dapat menurunkan harga barang kerana pengusaha industri pengangkutan tidak menurunkan harga.
Beliau berkata, tarif elektrik yang kekal tinggi dan tidak turun-turun walaupun harga minyak menjunam juga menyebabkan peniaga tidak menurunkan harga barang.
"Kerajaan menyalahkan peniaga atas inflasi yang berlaku, hakikatnya penawaran adalah melebihi permintaan pada masa ini.
"Peniaga pun tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap pasaran," katanya kepada Sinchew Daily.
Kok Cheong menjelaskan, kerajaan pada separuh penggal pertama 2014 menaikkan tarif elektrik sebanyak 16 peratus.
Katanya, kerajaan bagaimanapun tidak menurunkan tarif elektrik pada ketika harga gas asli, minyak mentah dan arang menjunam pada separuh penggal kedua 2014 sekali gus membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaut keuntungan besar.
"Kerajaan perlu menurunkan tarif elektrik dengan segera, dengan ini sahaja dapat menurunkan kos operasi.
"Sektor pembuatan, perkhidmatan dan makanan juga akan menurunkan harga jualan produk selepas itu," katanya.
Menurutnya, pengusaha pengangkutan pada masa yang sama juga perlu menurunkan bayaran yang dikenakan.
"Hanya dengan ini, harga minyak yang rendah pada masa ini dapat menyumbang kepada penurunan harga barang," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perindustrian Kecil Sederhana Malaysia, Teh Kee Sin berkata, kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu menjadi perintis dengan menurunkan harga jualan untuk perkhidmatan dan produk mereka.
"Sebagai contoh, TNB perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menurunkan tarif elektrik.
"Teladan yang ditunjukkan akan menjadi ikutan peniaga lain," katanya.
No comments: