Aktiviti spekulasi mata wang tidak akan mampu dilakukan secara individu kerana ia memerlukan sekumpulan besar dan organisasi untuk menjalankan kegiatan berkenaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan terhadap pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong.
Dr Mahathir berkata, mereka yang terlibat dalam kegiatan spekulasi mata wang akan berjual beli sesama mereka.
"Ketika zaman saya memerintah, bukan rakyat tempatan yang menjalankan kegiatan spekulasi mata wang, akan ada sekumpulan individu yang berjual beli mata wang sesama mereka.
"Jika ada dakwaan, buat siasatan. Kita mahu pastikan ada buat atau tidak," katanya kepada pemberita selepas forum bertajuk "The Malaysian Dilemma" anjuran Centre For A Better Tomorrow, di ibu negara hari ini.
Dr Mahathir berkata, kegiatan berkenaan sama seperti yang dilakukan George Soros, ketika krisis kewangan suatu ketika dahulu.
"Untuk jatuhkan nilai mata wang perlukan sekumpulan orang. Mereka ada organisasi besar, satu individu tidak mampu lakukan," katanya.
Tong sebelum ini menafikan tuduhan yang dikeluarkan beberapa blog yang mendakwa beliau terlibat dengan taruhan nilai ringgit sekali gus memanipulasi mata wang untuk mengaut keuntungan peribadi.
Mereka mendakwa, Tong memperoleh AS$1.4 bilion kedudukan singkat terhadap ringgit melalui proksi sejak Ogos tahun lalu sehingga Januari 2015.
sumber
No comments: