» » 'Saman tertangguh bapa Altantuya digerakkan semula'


Selepas enam tahun, saman sivil difailkan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev terhadap Putrajaya, yang tergendala sebelum ini, akhirnya menampakkan kemajuan.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Setev berkata Mahkamah Tinggi di Shah Alam menetapkan pengurusan kes pada Khamis bagi pihak yang terlibat menerima arahan daripada seorang hakim.

"Seorang peguam persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara dan seorang peguam daripada firma undang-undang kami akan hadir di hadapan seorang hakim yang akan memberi arahan untuk kes itu bergerak ke hadapan," katanya.

Ramkarpal berkata beliau juga menulis kepada pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan rekod rayuan berikutan sabitan dua komando polis – Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar – yang didapati bersalah membunuh model Mongolia itu pada 2006.

Setev memfailkan saman sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah, Sirul dan Putrajaya pada bulan Jun 2007.

Saman itu tertangguh kerana mahkamah tinggi mahu perbicaraan jenayah itu diselesaikan terlebih dahulu.

Razak, rakan rapat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada awalnya dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Setev memfailkan saman itu bagi pihak isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan dua cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, yang masih di bawah umur.

Pasangan itu adalah penjaga kepada anak-anak Altantuya. Anak yang bongsu menderita sakit dengan keperluan perbelanjaan rawatan yang mahal.

Keluarga berkenaan menuntut ganti rugi bagi "penderitaan, kesedihan, dan tekanan fizikal dan mental".

Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada 13 Januari menjatuhkan hukuman mati kepada dua polis itu selepas membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan mereka.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang menyampaikan penghakiman itu, berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Suriyadi berkata terdapat keterangan bukti yang kuat untuk menghubungkan kedua-dua mereka dengan jenayah itu.

Keterangan dalam mahkamah mendedahkan, model Mongolia itu sama ada dibunuh menggunakan bahan letupan C4 atau dibunuh terlebih dahulu dan mayatnya dimusnahkan pada 18 Oktober 2006, di pinggir bandar Shah Alam, berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.

Pada 23 Ogos, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dibuat Azilah dan Sirul, dan membebaskan mereka.

Empat tahun sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Yassin memutuskan kedua-duanya bersalah dan dihukum mati.

Ramkarpal sebelum ini berkata, beliau mungkin memberi sepina kepada Najib dan bekas pembantu peribadinya Timbalan Penguasa Musa Safri untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Beliau berkata keputusan bersalah terhadap Azilah dan Sirul memberi Setev kelebihan dalam samannya.

"Pihak pendakwaan membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah iaitu beban yang lebih tinggi untuk mendapatkan sabitan itu. Dalam saman sivil kita, ia adalah berdasarkan imbangan kebarangkalian iaitu nilai ambang yang lebih rendah," kata Ramkarpal.

Kerajaan memfailkan pembelaannya yang ia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kejadian itu kerana terbukti anggota polis berkenaan bertindak sendiri.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .