» » 'Rakyat Malaysia ditipu Jho Low dan 1MDB'


Penglibatan ahli perniagaan Jho Low dengan skandal kewangan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan media antarabangsa kelmarin membuktikan mereka selama ini berbohong kepada rakyat Malaysia, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti DAP itu berkata, lebih memburukkan apabila nama baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini tercalar kerana kedudukannya sebagai menteri kewangan, pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB selain menjadi keluarga yang rapat dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Teck Jho.

"Sekarang amat penting buat perdana menteri memberitahu rakyat Malaysia perkara sebenar mengenai 1MDB, khususnya penglibatan Jho Low dalam anak syarikat penuh milik kerajaan yang bermasalah," katanya dalam kenyataan.

1MDB dikatakan mempunyai hutang terkumpul mencecah sehingga RM42 bilion dalam tempoh lima tahun.

Lebih membimbangkan rakyat apabila 1MDB tidak mampu membayar semula RM2 bilion pinjaman tertunggak sejak November 2014.

Laporan akhbar New York Times pada 7 Februari lalu, "Well Connected at Home, Young Malaysian Has an Appetite for New York" mendedahkan beberapa siri mengenai 'kejayaan' Jho Low menjana keuntungan besar dalam bidang hartanah di Amerika Syarikat sejak 2010.

Laporan itu berkata, Jho Low "kerap berunding mengenai tindakannya, menurut tiga individu yang sering berunding dengan 1MDB tetapi tidak mahu dikenali demi menjaga hubungan".

Pua berkata, Jho Low juga dalam kenyataannya mengakui beliau pernah memberi rundingan mengenai pelbagai urusan "dari semasa ke semasa tanpa menerima pampasan".

"Bukti baru ini menunjukkan Jho Low dan 1MDB menipu rakyat Malaysia secara terangan sejak bertahun lalu," katanya.

Katanya, Jho Low sebelum ini sering menafikan terlibat dalam sebarang bentuk urusan dengan 1MDB, malah kenyataan medianya pada 5 Mei tahun lalu turut menafikan terlibat dengan syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Penafian sama turut dibuat 1MDB pada 2012, dan menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Halmi "peranan Jho Low sepanjang pengetahuan 1MDB adalah sifar".

"Kini dengan pendedahan dan pengakuan Jho Low sendiri membuktikan peranannya tidaklah ‘kosong’, malah mungkin jauh lebih besar berdasarkan pendiriannya yang sering berdolak-dalik," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, pendedahan itu juga membuktikan dakwaan portal Sarawak Report tahun lalu munasabah mengenai penglibatan Jho Low secara aktif dalam keputusan 1MDB dan semua aktiviti berkaitannya, termasuk Petrosaudi International Limited.

Pada September tahun lalu, sumber memberitahu Sarawak Report yang "Low mengawal 1MDB, mereka ikut segala arahan beliau".

Katanya, Sarawak Report juga adalah yang pertama pada Mei 2014 mendedahkan fakta 1MDB membantu Jho Low membuat tawaran RM5.7 bilion untuk Maybourne Hotel Group melalui "surat sokongan" dalam dokumen yang diteliti daripada Mahkamah United Kingdom.

Menurut Sarawak Report juga, "hakim menjelaskan beberapa perkara yang diwakili Jho Low sendiri dan syarikatnya sebagai entiti yang disokong kerajaan Malaysia 'yang kaya dengan khazanah".

"Dengan pendedahan terbaru oleh New York Times, jelas membuktikan Jho Lo' mempunyai hubungan ekonomi," kata Pua.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .