» » 'Pemimpin politik mesti tegas menentang golongan ekstrem'


Kepimpinan politik perlu mengambil pendirian tegas menentang mereka yang mendukung pandangan melampau, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam menyuarakan kesedihan beliau kerana suara golongan ekstremis yang semakin kuat di negara ini.

"Suara mereka yang suka mengapi-apikan, menghasut, mengugut dan taksub nampaknya makin kuat dalam politik dan di media. Saya tidak fikir kita sudah jadi kurang sederhana. Mungkin golongan ekstremis dalam masyarakat kita yang sudah menjadi kurang sederhana, dan di sinilah bahayanya.

"Kepimpinan politik perlu mengambil pendirian tegas menentang mereka yang mendukung pandangan melampau. Kita tidak boleh lembik dalam hal ini," katanya kepada akhbar itu.

Abdullah mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003 sehingga beliau meletak jawatan pada April 2009 susulan tekanan dari dalam Umno sendiri berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang membawa titik perubahan apabila parti pemerintah Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen yang lazimnya diperolehi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meneruskan kepimpinan dari Abdullah.

Hubungan kaum dan agama makin tegang selepas PRU13, dengan BN hanya mendapat 47% undi popular walaupun memenangi lebih banyak kerusi bagi membentuk kerajaan.

BN menyalahkan golongan minoriti Cina punca kekalahan besar yang dialaminya, yang juga didorong kumpulan Melayu-Islam yang inginkan undang-undang yang lebih Islamik ditegakkan di seluruh Malaysia.

Abdullah berkata, tidak akan ada keamanan jika golongan pentaksub dan pelampau dibiarkan menenggelamkan suara-suara sederhana.

Menggesa rakyat Malaysia menolak pemimpin politik yang mempunyai pandangan melampau, Abdullah, 75, berkata setiap orang perlu memainkan peranan mereka merealisasikan visi pengasas negara yang memberi penekanan kepada toleransi, kesederhanaan dan penerimaan.

"Kita mungkin ada rintangan sekarang, tetapi saya percaya kita masih lagi model yang baik bagi sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya. Kita tidak sepatutnya dan tidak boleh membenarkan unsur-unsur melampau merampas negara ini dari kita," katanya kepada The Star.

Beliau juga memuji kumpulan 25 tokoh Melayu yang meminta Putrajaya mengadakan dialog rasional mengenai Islam, mengatakan dalam mana-mana perdebatan, kesederhanaan mesti diguna pakai bagi mengkaji isu dan membuat keputusan berdasarkan maklumat.

"Mahatma Gandhi pernah berkata: 'Perselisihan yang jujur selalunya satu petanda baik kemajuan'," katanya memetik kata-kata pemimpin kemerdekaan dan ikon keamanan India.

"Saya percaya debat ialah sesuatu yang baik. Tetapi, seperti kata Gandhi berkata, perlu ada kejujuran dalam sebarang perbezaan pendapat, tidak boleh ada yang cuba menghalang orang lain bersuara atau memaksa orang lain menerima pandangan mereka, maksud saya, mereka yang mempunyai pandangan yang melampau.

"Sejarah membuktikan, bertindak keterlaluan – sepertimana kata Eisenhower – sama ada ke kanan atau ke kiri, memang sentiasa salah. Dalam mana-mana perdebatan, kesederhanaan perlu diutamakan. Itulah satu-satunya cara mengkaji isu-isu secara kritikal dan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat."

Abdullah menyaksikan rusuhan kaum Mei 1969 dan merupakan sebahagian daripada Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan dalam usaha memulihkan undang-undang di Malaysia selepas kejadian itu.

Beliau berkata terdapat komitmen terhadap konsep yang diperkenalkan pengasas negara mengenai kesederhanaan, penerimaan dan toleransi.

"Kita perlu sentiasa fikir bagaimana hendak menyatupadukan semua orang, kerana kita semua dalam kapal yang sama, dan kita perlu pastikan kapal kita tidak tenggelam.

"Kita tidak boleh fikir, contohnya, hanya orang Melayu ada tempat di sini, orang lain tidak. Jadi, selamat tinggal kepada mereka. Bukan begitu. Kita semua dalam hal ini bersama-sama," beliau dipetik berkata.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .