» » 'Menteri bodohkan diri sendiri mengaku pendidikan di Malaysia bertaraf dunia'


Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memperbodohkan dirinya dengan dakwaan sistem pendidikan tinggi Malaysia setanding dengan negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Jerman, kata ahli Parlimen DAP hari ini.

Mereka berkata, bukti yang diberikan bagi menyokong dakwaannya - pelajar asing membentuk 10% daripada pelajar di institusi pendidikan tinggi negara ini - menggelikan hati, dan kenyataannya yang mendorong komen negatif dan sinis itu sukar dipercayai.

"Saya mahu percaya Idris bukan sekadar berjenaka, walaupun seluruh warga Internet menyambut kenyataannya dengan gelak ketawa. Saya mahu percaya Idris tidak sekadar syok sendiri, atau syok bersama rakan jemaah menteri.

"Saya teringin mahu rasa bangga dengan taraf pendidikan tinggi negara; sekiranya apa yang dikatakan Idris adalah benar, tiada yang benar selain yang benar belaka. Namun ternyata sukar bagi saya untuk mempercayai percakapan Idris," kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pula berkata, sesuatu yang bahaya apabila membuat tanggapan sistem pendidikan negara bertaraf dunia dan setanding dengan negara seperti United Kingdom dan Australia hanya kerana Malaysia mempunyai sebilangan besar pelajar asing.

"Dengan pemikiran sebegitu, adakah bermakna jika kita mempunyai peratusan pelajar asing yang lebih besar di universiti kita, taraf pendidikan kita melebihi di UK dan Australia?" soalnya.

Semalam, Bernama melaporkan Idris sebagai berkata, pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk UK, Jerman dan Australia daripada segi kualiti pendidikan.

Katanya, ia dibuktikan dengan terdapat lebih 135,000 pelajar asing sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti tempatan yang meliputi 10% daripada jumlah pelajar yang berada di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Lim berkata, Idris sewajarnya memberikan dua fakta bagi meyakinkan orang ramai tentang perkara itu.

"Pertama, kemukakan penilaian oleh institusi antarabangsa yang menunjukkan universiti tempatan berada di kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia.

"Kedua, saya minta semua 35 menteri Kabinet mendedahkan di mana anak mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ke universiti awam tempatan, atau universiti asing," katanya.

Jika beliau gagal mengemukakan bukti itu, Lim berkata, Idris tiada pilihan lain kecuali meminta maaf serta menarik balik kenyataannya.

Kedua-dua Lim dan Ong memetik ranking QS World University 2014 yang menunjukkan Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di UK dan Australia.

"Universiti Malaya satu-satunya universiti Malaysia yang berada dalam ranking 200 teratas, menduduki tempat ke-151, berbanding 19 universiti UK, 8 universiti Australia dan tiga universiti Jerman yang berada dalam kedudukan 100 teratas," kata Ong .

Ong berkata, pelajar asing membuat keputusan belajar di luar negara kerana beberapa faktor termasuk kos sara hidup, keperluan kemasukan, program yang disediakan, bahasa pengantar, kemudahan mendapatkan visa pelajar, peluang biasiswa, kualiti universiti dan bilangan tempat yang ditawarkan kepada pelajar asing.

Katanya, jika Idris benar-benar percaya sistem pendidikan negara ini setanding negara tersebut, dia perlu kemukakan senarai pelajar asing yang diterima masuk Cambridge atau Oxford University, Imperial College, Kolej Universiti London atau Australia National University tetapi menolak kerana mahu belajar di Malaysia.

"Saya sama sekali tidak berniat memandang rendah universiti tempatan kita. Bagi sesetengah program, seperti perubatan dan undang-undang contohnya, mungkin lebih sukar untuk diterima masuk ke program ini di universiti awam kita berbanding universiti luar negara.

"Tetapi universiti tempatan kita juga akan mengaku, masih banyak yang perlu mereka perbaiki daripada segi kualiti pengajaran, prasarana dan dana untuk penyelidikan, sebelum mereka mencapai taraf universiti di UK dan Australia," kata Ong.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .