» » Mahu undang-undang salah laku penjawat awam digubal seberapa segera


Transparency International Malaysia (TI-M) mahu undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam (misconduct in public office) yang disyorkan panel bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu dilaksanakan dengan segera bagi memerangi isu rasuah di negara ini secara berkesan.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, TI-M melihat saranan Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM mengenai keperluan mewujudkan peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam sebagai satu langkah positif.

"TI-M juga berpandangan selari dengan PPO di mana peruntukan ini perlu diwujudkan dengan segera bagi memastikan keberkesanan usaha mencegah rasuah di Malaysia.

"TI-M pernah mengutarakan perkara yang sama sebelum ini. Justeru, adalah wajar kerajaan memberi keutamaan ke atas aspek," kata beliau dalam satu kenyataan media dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Khamis lalu, Pengerusi PPO Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil mengesyorkan agar satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam perlu digubal segera bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara holistik dan menyeluruh.

Katanya, perkembangan terkini di Malaysia menyebabkan peruntukan ini penting dalam pencegahan rasuah.

Kata Hadenan, undang-undang berkaitan salah laku dalam kalangan penjawat awam perlu digubal bagi membolehkan masalah seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan seperti yang sering kali ditegaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara, diambil tindakan.

Akhbar berkata, pihak berkuasa perlu serius dalam perkara dan komited membawa reformasi undang-undang yang relevan bagi membolehkan misi memerangi rasuah dijalankan secara menyeluruh.

Katanya, TI-M yakin bahawa kerajaan pusat, yang memperkenal dan melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi mencegah rasuah sejak penubuhan SPRM pada tahun 2009, akan mengambil langkah susulan yang konkrit bagi mewujudkan peruntukan salah laku penjawat awam, sebagaimana dipraktikkan di Australia dan Hong Kong.

"Kita faham kekangan yang wujud dalam membawa anggota pentadbiran awam ke mahkamah dalam sesetengah kes di bawah undang-undang rasuah sedia ada.

"Contoh paling klasik adalah melibatkan masalah ketirisan dan pembaziran wang negara sebagaimana didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun," katanya.

Menurut Akhbar, TI-M berpendirian satu peruntukan baru yang konkrit diperlukan agensi penguatkuasaan dan pencegahan seperti SPRM ‎bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Katanya TI-M sedia membantu kerajaan dalam menyalurkan input bagi merealisasikan syor diadakan peruntukan salah laku penjawat awam.

Akhbar berkata, peruntukan ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan keberkesanan tindakan SPRM, malah Jabatan Ketua Audit Negara yang berusaha memperbaiki sistem pengurusan kewangan agensi-agensi kerajaan.

"TI-M juga yakin bahawa peruntukan salah laku penjawat akan menyumbang ke arah membantu menyelamatkan wang negara dan mengelakkan ketirisan," katanya sambil menambah, TI-M berharap semua pihak khususnya ahli-ahli politik akan menyokong saranan mewujudkan peruntukan salah laku penjawat awam.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .