» » 'Keadilan sebagai mangsa Anwar Ibrahim diambil ringan oleh umum'


Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu ketua pembangkang melahirkan rasa terkilan menjelang keputusan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirinya pada Selasa kerana layanan kepadanya sebagai "mangsa" seperti tidak diambil kira berbanding ketua umum PKR itu yang disifatkannya sebagai "tokoh politik yang banyak kepentingan".

Melalui laman blog miliknya, Saiful menyuarakan kekecewaan kerana orang ramai lebih memikirkan kesan politik kesnya, berbanding kesan dan keadilan terhadap dirinya.

"Terus terang saya ingin luahkan, mutakhir ini, saya amat berdukacita dan terkilan, suara, layanan, keadilan dan keprihatinan terhadap saya sebagai mangsa jarang sekali diambil kira, malah dianggap tidak relevan dan tidak penting, walhal saya ini mangsa, Anwar Ibrahim orang yang dituduh.

"Sungguh mengecewakan saya lagi apabila ramai di kalangan (parti kerajaan dan pembangkang, penganalisis bebas, orang ramai) yang berbicara dan lebih 'prihatin' tentang kesan kes ini terhadap senario politik berbanding kebenaran, fakta, nasib dan keadilan buat saya sebagai mangsa," katanya, dipetik laman blog miliknya, mohdsaifulbukhari.blogspot.com dalam posting terbaru bertajuk ‘Menjelang 10 Feb, harapan, doa, kisah’.

Saiful bagaimanapun berkata, selaku insan ‘kerdil’, dan tiada kepentingan, beliau sedar akan situasinya.

"Apa pun saya sedar dan insaf, siapalah saya...saya hanya insan 'kerdil' yang tak ada apa-apa kepentingan...Anwar pula seorang VVIP, tokoh politik yang banyak 'kepentingannya'. Lumrah dunia.."

Melalui postingnya, Saiful berkata, beliau turut ‘jelik’ dengan saranan Anwar menggesa Putrajaya campur tangan dalam kesnya, sedangkan mereka memperjuangkan sistem kehakiman yang bersih.

"Saya juga pelik dan jelik apabila membaca saranan Anwar dan pelbagai pihak terutama penyokong 'Clean and Independent Judiciary' yang mahukan kerajaan, dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mencampuri urusan badan kehakiman agar membebaskan AI," katanya, merujuk kepada singkatan Anwar Ibrahim.

"Pada hemat saya, itu secara jelas dan terang-terangan tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Bukankah itu satu 'Hypocrisy of the Highest Order? Perjuangkan 'Clean & Independent Judiciary' tapi dalam kes saya ini, mereka desak ada campur tangan," katanya.

Saiful juga memohon tiada pihak yang mengikut kehendak Anwar yang dakwanya, mahukan dirinya dibebaskan.

"Saya mohon dan berharap agar segala pengaruh mahupun tekanan pihak tertuduh, pihak luar, juga anasir politik yang cuba mempengaruhi agar beliau dibebaskan adalah suatu yang mustahil dilakukan," katanya.

Saiful turut melahirkan keyakinan terhadap Mahkamah Persekutuan yang akan membuat keputusan secara adil berdasarkan lunas undang-undang.

"Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini dengan bebas, seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan," katanya.

Bagaimanapun bekas pembantu Anwar itu menyatakan kesediaan sekiranya tewas kes tersebut yang berlarutan sejak 7 tahun lalu.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi diri saya dalam menghadapi sesuatu perkara, untuk siapkan diri berhadapan dengan 'worst case scenario'.

"Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap Istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya yang tegakkan kebenaran. Pasti ada hikmah," katanya, dan menambah:”Jika tidak di dunia, di Masyar pasti…"

"Di saat ini, hanya Allah saja tempat saya mohon pertolongan, berserah dan mengadu. Sama-sama kita tunggu keputusan mahkamah nanti,” tulisnya.

Saiful turut menyuarakan kebarangkalian akan membukukan kisah hidupnya.

"Apa pun yang pasti, sehingga kini saya tetap Istiqamah, tidak sesekali saya menyesali tindakan saya melaporkan perkara ini," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .