» » 'Harga barang mahal di M'sia kerana amalan monopoli dan salah guna subsidi'


Putrajaya mahu mempertingkatkan kempen menghapuskan orang tengah dalam rangkaian pengedaran hasil pertanian kerana percaya ia boleh menurunkan harga barang, tetapi pengkritik mempersoalkan sama ada ia berkesan memandangkan sesetengah industri seperti beras, harga dan bekalan di manipulasi ekoran amalan monopoli dan salah guna subsidi.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mula bersaing secara langsung dengan sektor swasta yang sudah lama terlibat dalam logistik, pengilangan makanan dan runcit yang biasanya membeli hasil tani sebelum menjualnya kepada pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada tahun ini, kerajaan sendiri melalui agensi dan persatuan petani akan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada petani dan nelayan.

Daripada segi teori, ia akan mengurangkan harga barangan yang dijual kepada pengguna selain memastikan petani dan nelayan mendapat pulangan adil daripada hasil tani dan laut.

Tetapi badan pemantau hak pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberi amaran inisiatif itu hanya mendatangkan hasil sekiranya kerajaan melakukannya dengan berkesan kerana usaha sebelum ini, seperti Pasar Tani berakhir dengan pelbagai kesudahan.

Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao-Leung berkata, masalah orang tengah dalam industri beras tidaklah merupakan sebesar masalah rasuah dan salah urus skim subsidi beras.

Ismail sering menuduh orang tengah berpakat menetapkan harga runcit tinggi bagi hasil segar seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan, pada masa sama membeli dengan harga rendah daripada petani dan nelayan.

Pada Februari 4, beliau mendakwa petani dan nelayan yang tidak mendapatkan khidmat orang tengah tetapi menggunakan rangkaian pengedaran kementerian, mendapat pulangan lebih antara 10% dan 20%.

Rangkaian pengedaran kementerian termasuk pengangkutan dan khidmat penyimpanan bekalan yang di kendali dan dimiliki persatuan dan badan petani seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Tahun ini, kementerian merancang meluaskan rangkaiannya kepada pemprosesan makanan, pembungkusan sehinggalah sewa alat jentera pertanian.

Dalam industri beras, sebagai contoh, kementerian mahu kumpulan petani menjalankan kilang padi dan pembungkusan sendiri, di samping alat penuaian yang boleh disewakan kepada pesawah.

Ismail bagaimana pun, mengakui kementerian tidak begitu berjaya dalam usaha menarik petani ke dalam rangkaian baru itu.

“Masih ada kekurangan kesedaran di kalangan petani dan nelayan mengenai kempen kita. Ini kerana mereka sudah biasa dengan orang tengah yang sedia ada," kata Ismail dalam program bual bicara TV1, Dialog.

Contohnya, daripada 33,000 nelayan di seluruh negara, cuma 3,800 berpindah kepada rangkaian pengedaran kerajaan, tidak mencapai sasaran kementerian sebanyak 4,735.

Menurutnya, ada nelayan diberikan pinjaman dan bot oleh orang tengah.

“Kami memperuntukkan RM40 juta kepada petani dan nelayan menyelesaikan hutang mereka kepada orang tengah. Setakat ini, hanya RM10 juta dimanfaatkan.

“Ada nelayan hanya perlu turun ke laut menangkap ikan. Sekembali ke jeti, orang tengah menunggu membeli tangkapan mereka,” kata Ismail menjelaskan hubungan rapat pemborong dan nelayan.

Inisiatif kementerian pada tahun ini bukan sesuatu yang baharu, kata Fomca, kerana usaha sama pernah dilakukan menerusi Fama dan program Pasar Tani.

Pengarah Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj percaya usaha kali ini boleh membawa kepada harga lebih baik dan adil bagi kedua-dua pengeluar dan pengguna kerana akan wujud hubungan langsung antara mereka.

“Kita sudah lihat kes di mana petani kecil tidak mendapat harga sewajarnya daripada pemborong apabila menjual hasil mereka," kata Selvaraj, berbanding sekiranya ia dijual terus kepada pengguna.

“Jika dilakukan dengan berkesan, ia menguntungkan pengeluar dan pengguna."

Pada masa ini, wujud masalah pada program Pasar Tani yang asalnya bertujuan memberi peluang pengeluar menjual terus kepada pengguna.

“Tetapi sekarang, ada penjual di pasar tani (yang bukan pengeluar) yang membeli daripada pemborong."

Satu lagi cara ialah meliberalisasikan pasaran dan menghapuskan monopoli, seperti dalam industri beras dan gula di mana pihak tertentu berpakat memutar belit harga.

Ini termasuk meluaskan sistem permit import bagi mewujudkan persaingan di kalangan pemborong, yang seterusnya boleh menurunkan harga.

“Bila hanya dua atau tiga orang diberi permit import hasil tani, ia akan menyebabkan pakatan di antara mereka. Justeru perlu diliberalisasikan.

“Pada masa sama, perlu ada penguatkuasaan ketat oleh Suruhanjaya Persaingan bagi memastikan tiada putar belit harga."

Gooi berkata dengan hanya menyasarkan orang tengah dalam industri beras tidak akan menyelesaikan masalah pendapatan petani dan gangguan bekalan di pasaran.

Katanya, masalah tersebut berpunca daripada salah urus skim beras subsidi ST15 oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas), yang mengawal selia industri beras seluruh negara.

“Saya tak nafikan ada orang tengah tidak bertanggungjawab. Kita mengalu-alukan usaha menambah pendapatan petani dan memastikan pengguna membayar harga beras berpatutan.

“Tetapi kita mempersoalkan sama ada kempen ini benar-benar tertumpu kepada masalah sebenar industri beras, yang lebih berpunca daripada pihak Bernas."

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .