» » Yuran kursus perkahwinan naik bermula Februari 2015


Ketika heboh sorang menteri Kabinet menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina untuk menurunkan harga barang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menaikkan kadar bayaran Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) di seluruh Wilayah Persekutuan bermula Februari ini.

Dalam surat yang diedarkan Jawi, kadar bayaran RM85 sebelum ini dinaikkan kepada RM130, iaitu RM120 bagi yuran penyertaan dan RM10 bagi sijil kursus.

"Alasan kenaikan ini yang turut disertakan dalam surat tersebut peningkatan kos hidup semasa.

"Kami percaya pihak terbabit sudah tentu menjalankan kajian secukupnya sebelum harga kursus kahwin ini dinaikkan," tulis pekeliling itu seperti dilaporkan portal MyNewshub.

Keputusan Jawi menaikkan kadar bayaran kursus kahwin itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Ahmad Saufi berkata di Facebook, sepatutnya kursus tersebut semakin murah ataupun dilaksanakan secara percuma.

Izza Sulaiman pula melihat kenaikan kadar bayaran itu hanya akan meningkatkan perbuatan zina dan menambahkan kelahiran anak luar nikah.

Katanya, urusan berkenaan seharusnya dipermudahkan supaya tidak ramai yang akan lewat mengakhiri zaman bujang mereka ekoran kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Tidak semua rakyat mewah hidup, senang makan pakai, sedangkan lulusan diploma dan ijazah pun boleh digelar miskin dengan taraf gaji empat angka. Inikan pula golongan bawahan," katanya menerusi Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook Itew Zue berkata: "Lepas ni makin banyak la maksiat.. Nak kahwin pun makin mahal. Payah-payah."

Kontroversi berhubung harga barang tercetus selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menulis kenyataan di Facebooknya, membuat gesaan agar orang Melayu memboikot peniaga Cina dalam usaha menurunkan harga barang ketika kerajaan sudah menurunkan harga runcit minyak.

Ismail juga menyebut tentang restoran kopitiam OldTown White Coffee, dimiliki OldTown Bhd, mengatakan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham memiliki saham di dalamnya.

Susulan kenyataan tersebut, pelbagai pihak mengecam dan membidas kenyataan beliau yang disifatkan berbau perkauman, termasuk parti komponen Barisan Nasional sendiri, MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun, Ismail berdiri teguh dengan kenyataannya dan enggan meminta maaf apabila diberi amaran oleh Ngeh.

Selain itu, ahli Parlimen Bera itu juga masih belum disoal siasat polis seperti dijanjikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .