» » Azmin bakal ketua pembangkang ?


Tidak dapat dipastikan sama ada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali diangkat menjadi ketua pembangkang baharu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana keputusan masih belum dibuat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PKR itu berkata, mesyuarat peringkat Pakatan Rakyat (PR) akan dibuat dalam masa terdekat bagi memutuskan pemimpin yang layak memegang jawatan tersebut.

"Mana dengar berita itu? Kita tak putuskan apa-apa lagi," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR, malam ini.

Beberapa penganalisis melihat Azmin sebagai antara calon paling layak menggantikan Anwar kerana mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan setia bersama ketua umum PKR itu sejak 25 tahun yang lalu.

Menurut Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan, PR seakan-akan tiada pilihan dan perlu melantik Menteri Besar Selangor itu sebagai ketua pembangkang.

“Nak atau tidak, PKR perlu tampil seseorang yang paling sesuai dan setakat ini yang paling kanan dan berkelayakan adalah Azmin.

“Kelebihannya Azmin seorang menteri besar yang sedang memerintah, ada kerajaan. Itu satu kelebihan kerana ada sumber yang boleh digunakan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Prof James Chin berkata, walaupun Azmin mempunyai kebolehan namun beliau tidak dipercayai DAP.

Sementara itu, Dr Wan Azizah ketika ditanya calon pengganti kerusi Parlimen Permatang Pauh, katanya perkara itu juga belum diputuskan kerana kerusi itu masih belum diisytiharkan kosong secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seorang anggota parlimen akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

"Namun SPR tidak boleh isytihar lagi kekosongan selagi tidak terima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat," katanya menjangkakan surat rasmi akan diterima dalam tempoh dua tiga hari lagi.

Kataanya, sekiranya Anwar berhasrat ingin kembali bertanding dalam pilihan raya, beliau (Anwar) hanya boleh berbuat demikian selepas lima tahun daripada tarikh dibebaskan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Anwar mengalahkan calon Barisan Nasional Dr Mazlan Ismail di kerusi tradisinya Permatang Pauh sejak 1982 dengan majoriti 11,721 undi.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .