» » 'Anwar Ibrahim dianiaya dan bukan didakwa'


Lebih 100 peguam menandatangani satu petisyen mengecam Presiden Majlis Peguam Christopher Leong kerana didakwa menghina badan kehakiman susulan kenyataan beliau yang Datuk Seri Anwar Ibrahim "dianiaya, bukan didakwa", selepas ketua pembangkang itu gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes liwatnya.

Peguam yang kesemuanya dari Semenanjung itu berkata, kenyataan akhbar Leong pada 11 Februari bercanggah dengan dirinya sendiri kerana beliau mengakui tidak membaca penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tetapi hanya bergantung kepada laporan media apabila membuat kenyataan mengatakan penghakiman itu tidak berasas.

Mereka menuntut Leong menarik balik kenyataan itu dan mengemukakan satu permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat serta tidak berbelah bagi kepada badan kehakiman dan orang ramai.

"Jika tidak, kita terpaksa mengambil semua langkah yang perlu bagi menggesa beliau meletakkan jawatan serta-merta dan menyeru peguam negara mengambil tindakan terhadapnya kerana menghina mahkamah.

"Ini merupakan serangan secara langsung kepada Mahkamah Persekutuan tanpa sebarang asas undang-undang yang kesannya membawa Mahkamah Persekutuan kepada kehinaan dan kebencian yang amat sangat," kata para peguam itu dalam satu kenyataan bersama.

Majlis Peguam Malaysia mempunyai kira-kira 15,500 ahli di Semenanjung.

Mereka berkata kenyataan Leong menghalang Majlis Peguam daripada menjalankan tugas asas dan berkanunnya, yang termasuk melindungi integriti dan kesucian sistem kehakiman.

Mereka berkata Leong mesti menghargai kedudukan undang-undang yang "perbicaraan oleh media" bukan sahaja salah tetapi mesti dibenci dalam mana-mana sistem kehakiman bertamadun.

"Leong melalui kenyataannya, membuatkan badan kehakiman – satu elemen asas dalam pentadbiran keadilan di Malaysia – menjadi hinaan awam dan ejekan dengan memberi gambaran yang salah terhadap fakta dan undang-undang yang diguna pakai semasa perbicaraan dan sabitan Anwar.

"Dia melakukannya dengan mempersoalkan mengapa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak didakwa bersubahat di bawah Seksyen 377A dan 377B yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan," kata mereka.

Mereka berkata, ia merupakan satu kenyataan keterlaluan yang datang daripada seorang ahli kanan dan ketua profesion undang-undang di Malaysia.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .