» » '1MDB syarikat miskin yang tak patut wujud di Malaysia'


Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya diwujudkan kerana melambangkan syarikat yang miskin.

Katanya sekiranya masih menjadi perdana menteri Malaysia, syarikat seperti 1MDB tidak akan ada.

"Kita tidak perlu ada langsung 1MDB. Itu bukan duit kita, kita pinjam bank. Sekarang kita hutang duit dengan bank. Itu bukan kaya, saya tidak akan ada 1MDB, mudah," kata bekas perdana menteri itu pada forum anjuran Centre for a Better Tomorrow di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengambil contoh "ceti" ketika zaman sebelum merdeka, peminjam akan berhutang dengan ceti, dan menggunakan duit yang bukan milik mereka.

"Adakah kita pinjam daripada ceti, kita kaya? Tidak, itu duit ceti," katanya.

Dr Mahathir berkata, Putrajaya perlu menjelaskan aliran kewangan syarikat berkenaan memandangkan isu itu kini sudah berubah menjadi kontroversi.

"Ini sudah jadi kontroversi, mesti dijelaskan. Salah satu caranya perlu ada audit bebas, badan kerajaan diadakan audit bebas.

"Masa saya mentadbir tiada audit bebas kerana tidak banyak orang yang merungut," katanya.

Beliau turut mempersoalkan dana dari Pulau Cayman yang tidak digunakan untuk membayar hutang syarikat milikan kerajaan itu.

Menurut Dr Mahathir, laporan media yang menyebut T Ananda Krishnan, jutawan Malaysia dijangka akan meminjamkan dana untuk membayar hutang syarikat berkenaan kerana "tiada lagi tempat untuk 1MDB membuat pinjaman".

"Mereka tiada orang lain nak pinjam duit, mereka pinjam daripada Ananda Krishnan, itu bukan penyelesaian masalah," katanya, dan menambah,"1MDB ini tidak jelas, berserabut."

Syarikat 1MDB juga katanya sangat teruk dan beliau turut berkata, kritikannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berpunca daripada terdapat pelbagai perkara yang tidak betul.

"Saya secara terbuka kata saya tidak sokong Najib kerana ada banyak perkara yang tidak betul.

"Sekarang ini negara berhadapan masalah, saya tidak rasa kerajaan mengatasinya," tambah Dr Mahathir.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .