» » Jabatan Audit bakal jadi suruhanjaya lebih cekap


Jabatan Audit Negara yang mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara akan menjadi suruhanjaya, membebaskannya daripada perkhidmatan awam supaya menjadi lebih cekap menyemak perbelanjaan awam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Cadangan menukar jabatan itu kepada suruhanjaya diutarakan Ketua Audit Negara sendiri, supaya ia tidak perlu terikat dengan syarat dan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Nur Jazlan.

Ini bermakna akauntan profesional boleh diupah dan dibayar gaji yang sepatutnya.‎

"Saya diberitahu ia sedang dalam proses untuk dilaksanakan," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider tentang rancangan Jabatan Audit Negara menjadi suruhanjaya.

"Saya mengalu-alukannya dan ia patut dipercepatkan," katanya dan menambah ia akan membenarkan juruaudit kerajaan untuk berfungsi lebih cekap dan mencapai tahap ketelusan yang lebih tinggi seperti dimahukan pembayar cukai.

Beliau berkata, pada masa kini, jabatan audit amat sibuk kerana tidak dapat menggaji stafnya sendiri, terutamanya staf akauntan profesional.

"Saya diberitahu yang seluruh jabatan audit ini hanya mempunyai 4 atau 5 akauntan profesional. Profesional dengan kelayakan ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) paling sukar didapati."

"Sistem kerajaan juga tidak mengiktiraf akauntan profesional... ia menganggap mereka sebagai pemegang ijazah dan meletakkan mereka ke dalam tahap gaji yang sama, iaitu lebih rendah daripada apa yang digaji kepada akauntan sama dalam sektor swasta.

"Jika jabatan tidak dapat menarik akauntan profesional untuk menyertainya, ia tidak boleh memperbaiki kecekapannya," kata Nur Jazlan yang juga merupakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah jabatan audit juga perlu memperbaiki proses mereka, termasuk cara menghasilkan Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau memetik kontroversi Laporan Ketua Audit Negara berhubung sambutan Hari Belia 2012 yang melaporkan kerajaan persekutuan membayar RM1.6 juta membawa tiga kumpulan K-pop membuat persembahan.

Beliau berkata, laporan itu gagal menyebut mengenai RM20 juta yang diterima kerajaan daripada penganjur bagi persembahan tersebut.

Satu lagi contoh, katanya, apabila Laporan Ketua Audit Negara mengenai Jabatan Penyiaran yang membelanjakan RM3,810 untuk jam dinding "berjenama" disensasikan media.

"Laporan itu meletakkan bersama kos untuk semua jam yang dibeli oleh jabatan penyiaran itu, termasuklah jam mahal atomik, yang digunakan sebagai standard dalam perkhidmatan pengedaran masa antarabangsa, untuk mengawal frekuensi gelombang siaran televisyen, dan sistem satelit navigasi global.

"Jadi jumlah semua jam yang dibeli ditunjukkan dalam laporan adalah tinggi. Jadi di sini kita mempunyai persoalan tentang kualiti Laporan Ketua Audit. Negara, yang jelas memerlukan pembaikan untuk mengelak salah faham pada masa depan.

"Sepatutnya bukan ini cara ia dilakukan. Jabatan Audit Negara perlu mempunyai tahap sama seperti standard audit komersil. Tahap kecekapan dan kualiti laporannya serta staf, perlu lebih tinggi supaya orang ramai boleh benar-benar bergantung kepada laporan jabatan," katanya.

Nur Jazlan (gambar, kiri), yang juga ahli Parlimen Pulai, merupakan panelis forum "Laporan Ketua Audit: Audit Kerajaan: Formaliti atau Akauntabiliti?" anjuran Institut Pulau Pinang di Universiti Terbuka Wawasan di Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Di forum tersebut, Pengarah Institut Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong mencadangkan jabatan audit diletakkan di bawah Parlimen dan bebas sepenuhnya daripada eksekutif, memandangkan ia meneliti perbelanjaan awam.

Beliau berkata sesiapa pun, atau sekurang-kurangnya ahli Parlimen, boleh memohon ketua audit menyiasat badan kerajaan demi kepentingan rakyat.

Sim, yang juga ahli Parlimen Bukit Mertajam, mengeluh baru-baru ini anggota Parlimen termasuk Nur Jazlan yang mengetuai PAC, tidak ada kuasa memohon atau mengarah ketua audit bertindak.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Nur Jazlan bahawa PAC tiada sebab menyiasat akaun 1MDB, kerana akaun dana pembangunan strategik itu sudah pun dijelaskan firma audit antarabangsa.

"Hanya kerana satu organisasi kerajaan yang besar seperti 1MDB (1Malaysia Development Bhd) diaudit oleh firma antarabangsa, ia tidak bermaksud jabatan audit tidak perlu menelitinya," kata Sim.

Sim juga menyeru bidang kuasa jabatan audit diperluaskan supaya mereka dapat mulakan penyiasatan ke atas jabatan kerajaan yang lain, syarikat berkait kerajaan, dan perkongsian awam swasta (PPP), serta pada skim dilindungi Akta Rahsia Rasmi.

Nur Jazlan berkata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sendiri mengesahkan firma antarabangsa yang menyemak akaun 1MDB mempunyai juruaudit yang lebih cekap daripada staf Jabatan Audit Negara untuk menyemak akaun dana milik kerajaan, termasuk wang disimpan di luar negara.

"Inilah sebab mengapa adanya isu berkenaan tahap kecekapan jabatan. Walaupun saya setuju dengan Sim yang amat bagus untuk meletakkan jabatan secara langsung di bawah Parlimen, kita tidak boleh terburu-buru.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan jabatan untuk meningkatkan kecekapannya dengan membenarkan mereka menggaji profesional berkualiti tinggi dan membayar mereka dengan secara adil, serta sering memperbaiki prosesnya.

Nur Jazlan berkata jabatan tersebut perlu diperkuatkan lagi dalam menjalankan tugasnya dengan lebih cekap.

Tambahnya, beliau yakin jabatan itu sedang menuju ke arah tersebut dengan menukar kepada kepada suruhanjaya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .