Langkah penjimatan yang terlalu kecil diumumkan Putrajaya dalam semakan Bajet 2015 awal minggu ini tidak akan membantu kerajaan mencapai sasaran 3.2% defisit fiskal tahun ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.
Pengarah eksekutif pusat penyelidikan PAS itu berkata, langkah penjimatan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih tidak cukup untuk berdepan keadaan ekonomi tidak menentu dihadapi negara ketika ini.
"Langkah-langkah mengurangkan 'operating expenditures' sebanyak RM4.5 bilion itu masih lagi kecil dan runcit-runcit," kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu kepada The Malaysian Insider hari ini.
"Matlamat mencapai defisit fiskal sebanyak 3.2% yang disemak semula daripada 3.0% tidak akan berjaya dicapai dengan langkah 'runcit ini."
Jika gagal mencapai sasaran tersebut, Dzulkefly tidak menolak Malaysia akan berdepan dengan penuruan penarafan oleh "Rating Agencies" seperti Fitch Rating.
"Kesan penurunan penarafan negara atau 'Sovereign rating' membawa implikasi buruk kepada kos pinjaman dan persepsi negatif Malaysia sebagai destinasi pelaburan," katanya.
Beliau sebaliknya menggesa Putrajaya menimbang menangguhkan projek mega khususnya dalam sektor pembinaan, hartanah dan lebuh raya.
"Tindakan lebih konkrit dan besar seharusnya diambil dengan menangguhkan projek-projek mega khususnya dalam sektor pembinaan dan hartanah (over-supply) dan lebuh raya (dalam perbelanjaan pembangunan) berbanding perolehan-perolehan kepejabatan bahkan PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara) yang mencekik golongan peniaga dalam rantaian bekalan," katanya.
Najib juga sepatutnya mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri yang berjumlah RM7 bilion, kata Dzulkefly.
"Najib juga harus berani untuk mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), contohnya 'slush fund' berjumlah RM7 bilion, pastinya lebih besar kesan dan impaknya di segi penjimatan," katanya.
Sementara itu, Dzulkefly juga berkata perolehan besar Kementerian Pertahanan juga perlu dikurangkan.
"Cukup untuk tahun 2015 menyelenggara dengan baik aset-aset pertahanan yang ada," katanya.
Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan langkah penstrukturan Bajet 2015 dengan sasaran penjimatan RM5.5 bilion pada Selasa.
Semakan ini ekoran kejatuhan harga minyak yang kini berada pada paras bawah AS$50 setong.
Belanjawan 2015, apabila dibentangkan pada bulan Oktober tahun lepas, mempunyai unjuran perbelanjaan RM273.9 bilion dalam perbelanjaan dan RM235.2 bilion pendapatan. Ia disandarkan kepada harga minyak kira-kira AS$100 setong.
Kemerosotan harga itu menjejaskan nilai ringgit dengan ketara memandangkan Malaysia adalah pengeksport minyak yang dilihat oleh ahli ekonomi sebagai keperluan bagi Putrajaya untuk menyemak semula bajet.
sumber
No comments: