Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menggesa Timbalan Ketua Bahagian Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan menarik balik laporan polis terhadap syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Astro Awani melaporkan Tengku Adnan sebagai berkata tindakan Khairuddin bukanlah pendirian parti itu dan juga Umno Pulau Pinang.
"Ini masalah ahli Umno yang tidak memahami perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar apa-apa sahaja cerita daripada laman web, Internet atau media sosial," beliau dipetik sebagai berkata.
"Janganlah kita terpengaruh dengan persepsi tidak diingini yang datang daripada pembangkang. Beliau membuat laporan polis, saya tak faham."
Beliau menasihatkan ahli Umno yang lain berbincang dan mengemukakan sebarang persoalan dalam parti jika mempunyai sebarang masalah dan tidak mendengar kepada pembangkang kerana ia hanya akan mengundang masalah.
"Mengapa kita perlu masuk dalam perangkap pembohongan pembangkang?" soal beliau.
Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, beliau merancang berjumpa dengan Khairuddin untuk "menasihati" agar menarik balik laporan polis yang dibuat semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau sudah menghubungi Umno Pulau Pinang mengenai perkara itu dan dimaklumkan pihak negeri sudah membincangkan perkara itu untuk membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.
"Saya akan melihat apa yang Umno negeri cadangkan ... jika dia (Khairuddin) melanggar peraturan parti, maka kita akan mengambil tindakan tetapi belum lagi. Jadi kita akan tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan seterusnya," katanya sedih.
Ku Nan juga mempertahankan kontroversi 1MDB, berkata syarikat itu banyak menyumbang, walaupun beliau tidak menyatakan apakah sumbangan itu.
Selain itu, ia turut membuat keuntungan dan kerugian, sama seperti mana-mana syarikat lain, beliau dilaporkan berkata.
Dalam laporan polis itu, Khairuddin meminta penyiasatan lebih "terperinci dan menyeluruh", menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah 1MDB, dan wakil daripada mana-mana syarikat yang mungkin terlibat dalam skandal itu.
Katanya, beliau membuat laporan terhadap syarikat dan lembaga pengarah selepas mengkaji pelbagai laporan dalam media cetak nasional dan antarabangsa serta media online yang "jelas terbukti" terdapat kelemahan dalam pengurusan dana pembayar cukai 1MDB.
Khairuddin juga berkata beliau akan membuat satu lagi laporan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan, jika tiada tindakan diambil.
1MDB adalah dana kekayaan negara Malaysia kedua selepas Khazanah Nasional Bhd.
Syarikat yang ditubuhkan hasil idea Najib, baru-baru ini mendapat perhatian ramai selepas beberapa pemimpin pembangkang mendedahkan hutang dana yang besar, jual beli tanah meragukan dan kerahsiaan ke atas urusannya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga hebat mengkritik 1MDB, meminta Putrajaya menerangkan bagaimana 1MDB memberi manfaat kepada rakyat Malaysia kerana ia menanggung hutang RM38 bilion dalam tempoh hanya lima tahun beroperasi.
1MDB memberi maklum balas kepada laporan polis malam tadi, berkata ia yakin laporan itu tidak mempunyai asas undang-undang.
"Kami mengalu-alukan sebarang penyiasatan berhubung urusan kami dan peluang untuk menangkis tuduhan berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan.
sumber
No comments: