Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang membuat laporan polis mengenai isu firma pelaburan 1MDB, berikrar akan terus melawan "kemungkaran secara habis-habisan" dalam apa jua keadaan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menyindir Pemuda Pulau Pinang dan Kedah untuk "membodek" sesiapa sahaja kerana mendesak kepimpinan parti menyiasat dan mengambil tindakan displin kerana dianggap menjatuhkan imej parti.
"(Tetapi) tindakan mereka hanya akan membuatkan ramai rakyat semakin jelak dengan Umno," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini
"Atas nama perjuangan, saya akan teruskan wadah dan tanggungjawab ini sebagai satu fardhu kifayah serta akan terus berpegang kepada prinsip membela kepentingan rakyat," katanya lagi.
Khairuddin mengulas desakan Ketua Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim supaya Umno negeri bertindak dan mengadakan mesyuarat khas membincangkan isu Khairuddin yang didakwa menggunakan portal "propembangkang" untuk menyerang Umno.
Menyokong perkara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin pula mendesak Jawatankuasa Pengurusan dan lembaga disiplin parti segera mengadakan siasatan terhadap Khairuddin yang mengkritik kepimpinan Umno Pulau Pinang yang didakwanya "tidur".
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata laporan polis berhubung syarikat pelaburan itu hanya meminta pihak berkuasa itu menjalankan siasatan lembaga pengarah dan ketelusan pentadbiran dana dan kewangannya.
Katanya, laporan polis itu tidak ada kena mengenai dengan Najib sebagai perdana menteri, presiden Umno atau menteri kewangan.
"Kerana dasar saya sayangkan Umnolah, saya mengambil tindakan nekad ini untuk membersihkan nama perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia.
"Isu 1MDB tiada kaitan langsung dengan Umno serta presiden Umno," katanya sambil menyifatkan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Kedah "amat kurang cerdik".
sumber
No comments: