Firma pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadapnya, yang hari ini merupakan sasaran satu laporan polis dan kontroversi yang menanah di kalangan pemimpin pembangkang .
Isu kewangan dan perniagaan 1MDB juga dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet Rabu lepas, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di luar negara atas urusan rasmi.
Najib merupakan pengerusi lembaga 1MDB itu.
"Kami sedar yang satu laporan polis mengenai 1MDB dibuat terdahulu hari ini oleh seorang ahli politik di Pulau Pinang. Kami belum melihat sebarang dokumen berkaitan perkara ini, jadi kami tidak pasti aduan itu dibuat tentang apa.
"Bagaimanapun, kami yakin ia tidak ada asas undang-undang. Kami mengalu-alukan sebarang penyiasatan dalam urusan kami dan peluang bagi kami menangkis tuduhan berniat jahat yang dibuat," menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan 1MDB di Kuala Lumpur malam ini.
Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini, mengatakan beliau "curiga" dan ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB, yang menurutnya tidak telus.
Menyeru siasatan "terperinci dan menyeluruh" dilakukan, Khairuddin menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah 1MDB dan wakil mana-mana syarikat yang mungkin ada kaitan dengannya.
Katanya, beliau membuat laporan terhadap syarikat dan lembaga pengarahnya selepas mengkaji pelbagai laporan di media cetak dan online tempatan dan antarabangsa yang "jelas membuktikan" terdapat kelemahan dalam pengurusan dana pembayar cukai 1MDB.
1MDB juga gagal meyakinkan dalam menjawab dakwaan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.
"Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab," katanya, "saya cemas dan bimbang dengan cara 1MDB menguruskan dananya yang didapati sangat kabur.
"Setakat Mac 2014, 1MDB dibebani hutang sehingga RM41.9 bilion, menghadapi risiko muflis dan kehilangan dana awam. Ini akan membebankan kerajaan Malaysia sebagai penjamin 1MDB."
Pemimpin Umno itu juga berkata, beliau akan membuat satu lagi laporan terhadap Najib, yang juga menteri kewangan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap laporannya hari ini.
1MDB, yang merupakan idea Najib, baru-baru ini mendapat perhatian banyak pihak selepas beberapa pemimpin pembangkang membangkitkan isu hutang besar-besaran yang diambilnya, penglibatannya dalam urusan tanah yang meragukan dan faktor kerahsiaan dalam jual belinya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, salah seorang yang keras mengkritik 1MDB, meminta Putrajaya menerangkan bagaimana 1MDB memberi manfaat kepada rakyat kerana ia menanggung RM38 bilion hutang dalam tempoh hanya lima tahun beroperasi.
Dr Mahathir juga mengecam Najib dan pemimpin Umno lain kerana tidak membincangkan kontroversi yang melingkari 1MDB pada Perhimpunan Agung Umno bulan lepas.
1MDB sedang dalam proses menyenaraikan aset tenaganya dan juga terlibat dalam projek pembangunan hartanah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.
No comments: