» » TPM ulangi pendirian kekal Akta Hasutan


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong Akta Hasutan dikekalkan bagi membendung usaha pihak tertentu yang cuba menghasut terutama membangkitkan perkara yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Menurut timbalan presiden Umno itu, parti tersebut yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara tidak akan sesekali berkompromi dengan pihak terlibat yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni, lapor Sinar Harian hari ini.

"Kita tidak akan berkompromi. Kalau ada pihak yang mencabar, apa lagi kalau Islam jadi sebahagian daripada Perlembagaan Negara, sudah jadi sebahagian penting dalam undang-undang. Kalau tidak boleh ungkit, jangan ungkit. Itu hasutan.

"Kalau hasutan mesti ada undang-undang untuk bertindak terhadap mereka yang suka menghasut sehingga boleh menimbulkan porak-peranda dalam negara kita.

"Sebab itu soal ini, secara peribadi, saya katakan Akta Hasutan itu mesti kekal," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Umno Terengganu 2014 semalam.

Akhbar itu melaporkan beliau berkata demikian bagi menjawab mengapa Umno dilihat kurang menjawab asakan pihak tertentu apabila isu agama, bangsa dan kedaulatan raja-raja disentuh dan dipersoal secara tersebuka melalui media sosial.

Sebelum ini, beliau dilapor berkata undang-undang bagi mencegah perbuatan menghasut seperti Akta Hasutan penting untuk dikekalkan bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membuat kenyataan sehingga mengguris perasaan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tiada percanggahan pendapat antara Muhyiddin dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 11 Julai 2012 yang mahu akta itu dimansuhkan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Akhbar itu melaporkan Hishammuddin berkata, kabinet masih konsisten dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sebarang penambahbaikan Akta Hasutan perlu bagi memastikan tiang seri negara dipertahan.

"Jadi apa juga perkara yang kita nak bawa, sama ada melalui pindaan, wujudkan akta baru atau tukar dengan akta yang lebih kukuh, ia tak lari daripada hasrat memperkasakan apa yang terkandung dalam Akta Hasutan," katanya yang juga naib presiden Umno.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .