Putrajaya masih belum memutuskan untuk menurunkan harga minyak walaupun harga pasaran minyak mentah dunia terus menunjukkan trend penurunan, kata Datuk Ahmad Maslan.
Timbalan menteri kewangan itu berkata, pada ketika ini kerajaan masih membayar subsidi sebanyak RM0.12 sen seliter bagi RON95.
"Sekiranya harga minyak mentah turun di pasaran hingga Disember 2014, secara relatifnya purata harga minyak mentah 2014 tidak jauh dari anggaran asal tahun ini," katanya ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
"Persoalan untuk menurunkan harga minyak masih belum berbangkit kerana sekarang ini kerajaan masih beri subsidi 12 sen satu liter bagi RON95."
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih lagi mengkaji langkah terbaik sekiranya harga minyak mentah dunia terus mengalami penurunan.
"Langkah terkenal selalu dibuat adalah dengan menurunkan harga. Itu yang memang biasa dibuat, ataupun kita bercadang untuk mengenakan cukai jualan.
"Namun cukai jualan ini tidak lama kalau kalau kita laksanakan iaitu hanya sehingga 1 April 2015 kerana digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana petrol dikecualikan daripada cukai tersebut," katanya.
Kebimbangan mengenai penghapusan subsidi dibangkitkan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli pada sidang medianya semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu juga menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan adakah beliau mahu menghapuskan subsidi tanpa menurunkan harga petrol.
"Kalau sudah mencecah AS$73, tetapi kerajaan masih enggan menurunkan harga... ini bermaksud ada satu perubahan besar dalam negara kita, kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan berhenti membayar subsidi kepada rakyat," katanya.
Ahmad berkata, kerajaan tidak pernah mengenakan cukai jualan iaitu sebanyak RM0.58 sen seliter untuk petrol RON95.
"Sepatutnya harga menjadi RM2.88 untuk RON95 tetapi kerana kerajaan BN amat baik pada rakyat tidak kena subsidi, tapi tidak kenakan cukai jualan," katanya.
Pada masa sama Ahmad mengakui penurunan harga minyak akan memberi kesan kepada pengurangan harga barang.
"Kita amat berharap agar harga minyak turun untuk menurunkan harga barang," katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke bangun bertanyakan kepada Ahmad yang sebelum ini menafikan kenaikan harga minyak akan beri kesan kepada kenaikan harga barangan.
"Menteri kata sebelum ini apabila subdidi dikurangkan, minyak naik tapi harga barang tak naik, tapi sekarang ini mengakui ia sememangnya menjejaskan harga barangan," kata setiausaha pengelola DAP itu.
Ahmad berkata, peningkatan harga barang itu tidak selaras dengan kenaikan harga minyak apabila ada peniaga yang mengambil kesempatan daripada situasi tersebut.
"Tapi ini takkan terjadi kalau tidak ada permintaan pengguna, kalau tak nak barang naik janganlah beli, jadi peniaga tidak ada pilihan perlu mengurangkan harga," katanya.
No comments: