Najib, yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya tidak akan berpatah balik dalam keputusan mereka untuk melaksanakan cukai GST.
"Tidak ada jalan patah balik, kami akan terus melaksanakan GST," kata Najib selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA di Kuala Lumpur hari ini.
GST yang bakal dilaksanakan pada April tahun depan tidak disambut baik orang ramai khususnya kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.
Peningkatan kos sara hidup yang disebabkan rasionalisasi subsidi dijangka bertambah buruk dengan pelaksanaan cukai itu.
Cukai GST berkadar 6% itu diperkenalkan untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan dikatakan akan membantu menjana pendapatan negara disamping mengurangkan defisit negara.
Putrajaya menjangkakan akan mengutip hasil sebanyak RM23.2 bilion daripada pelaksanaan cukai GST tersebut.
Najib juga menggariskan dua komponen bagi memastikan pelaksanaan cukai tersebut berkesan dan berjaya sebaik ia dilaksanakan.
"Salah satunya adalah penjelasan mengenai GST dan keduanya adalah pelaksanaan GST," katanya.
"Kita perlu pastikan kedua-dua ini dilaksanakan dengan telus."
Najib berkata, jumlah kos yang terlibat untuk melaksanakan GST ialah sebanyak RM137 juta.
Najib menjangkakan menjelang penghujung tahun sebanyak 200 ribu perniagaan akan berdaftar dengan GST tersebut.
Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyeru Putrajaya menangguhkan pelaksanaan GST kerana bimbang dengan prospek ekonomi negara.
Ahli politik veteran Umno itu berkata, kerajaan perlu memikirkan untuk menangguhkan GST ke masa di mana ekonomi negara lebih stabil dan kukuh.
"Dan jika ia perlu dilaksanakan, kadarnya juga harus dilihat semula," katanya.
Walaupun Putrajaya mengatakan cukai baharu itu perlu, ramai merasa ragu dan bimbang ia akan menyebabkan inflasi tidak terkawal.
Pada masa ini, hanya 18% daripada penduduk negara ini membayar cukai pendapatan, manakala lebih separuh daripada 7 juta isi rumah mendapat kurang daripada RM4,000 sebulan.
Pengkritik mendakwa, masanya belum sesuai melaksanakan GST di Malaysia kerana ia akan membebankan isi rumah berpendapatan rendah.
No comments: