Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menyertai penggubal undang-undang Barisan Nasional (BN) mempersoalkan keberkesanan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan menggesa saiznya dikecilkan atau ditutup kerana peranannya bertingkah dengan penjawat awam.
Mereka juga berhujah, Pemandu gagal melaksanakan janji mereka untuk membantu reformasi ekonomi Malaysia dan membawanya keluar daripada pertumbuhan berdasarkan projek mega.
Peranan Pemandu juga dilihat bertindih kerana kebanyakan inisiatif dalam Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan (ETP dan GTP) sudah pernah dilancarkan, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.
Seorang lagi Ahli Parlimen DAP Liew Chin Tong percaya Pemandu hanya meneruskan model pembangunan ekonomi “Mahathirisme” yang berdasarkan projek mega berbanding memupuk kepakaran teknikal mahir.
Kedua-dua ahli Parlimen menyokong gesaan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang baru-baru ini mengkritik Putrajaya kerana terus menggunakan Pemandu untuk melaksanakan polisi kritikal kerajaan.
Peranan bertindan?
Ong membangkitkan, Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala pernah berkata, peranan Pemandu akan bertindan sebaik sahaja berjaya membantu kerajaan membangunkan cara baru menjana pembangunan.
Dalam laporan Jun 2013, Idris dipetik berkata peranan Pemandu akan berubah dengan ketara apabila aktiviti tersebut makin mendapat tarikan, dan ia akan menjadi bertindan apabila “gelombang kelestarian” itu berjaya dilaksanakan.
Jika kini Pemandu dianggap berjaya dengan program ETP dan GTP, kata Ong, kerajaan perlu jelaskan mengapa agensi tersebut tidak boleh dikecilkan.
"Jika programnya berjalan lancar, strukturnya juga pada tempatnya, yang tinggal hanya untuk memantau perkembangannya, mengapa ia tidak boleh dikecilkan?" soal Ong.
Sebaliknya, agensi tersebut masih lagi menerima jumlah wang yang sama bagi tahun depan seperti tahun ini.
Pemandu menerima peruntukan RM39.2 juta tahun ini dan RM42 juta di bawah Bajet 2015.
Unit tersebut ditubuhkan pada September 2009 di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menurut laman webnya, peranan dan tujuan utama Pemandu ialah memantau pelaksanaan, menilai perkembangannya, memudahkan dan menyokong penyampaian serta memacu perkembangan GTP dan ETP.
Tahun lepas, Ong mempersoalkan jumlah yang dibayar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kepada pengarah Pemandu, dengan sesetengahnya dibayar gaji lebih RM30,000 sebulan.
Sebaliknya, sekiranya kerajaan merasakan Pemandu perlu dikekalkan saiznya, persoalannya mengapa unit tersebut masih belum lagi mencapai sasarannya, kata Ong.
Berkaitan sasaran pula, Ong pada 2012 mengkritik unit tersebut kerana menetapkan sasaran yang boleh dicapai negara walaupun tanpa kehadiran Pemandu.
Salah satu sasaran tersebut adalah meningkatkan pendapatan kasar negara (GNI) per kapita kepada RM48,000 menjelang 2020.
Realitinya, Ong berkata, Malaysia memang akan dapat mencapai sasaran itu berdasarkan kadar pertumbuhan pendapatannya dalam 10 tahun lepas.
Penggandaan menyebabkan geseran
Pada 20 Oktober, Aziz berkata fungsi Pemandu bertindan dengan beberapa kementerian.
Katanya, kementerian tersebut merasakan Pemandu mengambil alih peranan mereka dan ini menimbulkan keretakan perhubungan antara mereka.
"Tiada komunikasi yang sewajarnya dengan kementerian. Terdapat banyak pertindanan dan arahannya tidak jelas," kata Aziz kepada wartawan di Parlimen.
Memetik kenyataan Aziz, Liew mengatakan Pemandu sebenarnya entiti luar yang ditindih ke atas jentera kerajaan.
"Daripada benar-benar membawa perubahan dalam perkhidmatan awam, pentadbiran meletakkan satu unit payung terjun menyelesaikan masalahnya.
"Pemandu menggandakan kerja Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan, yang realitinya adalah dua badan yang sangat berkuasa dalam menggubah dasar."
Penambahan satu lagi entiti di atas struktur perkhidmatan awam sedia ada menimbulkan pergeseran antaranya dengan pegawai kerajaan, menjadikan jentera kerajaan secara keseluruhannya berat dan tidak dapat dikawal, katanya.
"Pemandu tampak seperti hanya melakukan kerja perhubungan awam (PR) sementara kakitangannya dibayar gaji setaraf sektor swasta."
Penyelesai masalah dan penilai projek
Seorang jurucakap Pemandu menjawab persoalan The Malaysian Insider tentang kenyataan Aziz dengan merujuk kepada jawapan yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.
Pemandu masih lagi diperlukan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah GTP dan ETP, kata Razali semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat awal minggu ini.
Kaedah Pemandu ialah dengan cara "Big Fast Results" (Hasil Besar dan Cepat) dan ini termasuk memberi bantuan kepada kementerian bagi mencari penyelesaian pantas dan menilai perkembangan program kerajaan.
"Pertindanan fungsi antara agensi tidak dapat dielakkan," katanya, sambil menambah, "dengan kerjasama dan persefahaman", masalah dalam penyampaian sistem awam boleh diselesaikan.
Projek mega tidak bermakna pertumbuhan sebenar
Ia tidak menjawab dengan terperinci kebimbangan yang timbul, namun jurucakap Pemandu itu berkata berpegang dengan jawapan rasmi Razali dan enggan mengulas lagi.
Perkara yang paling teruk tentang Pemandu, kata Liew, ialah bagaimana ia dan Putrajaya gagal membantu Malaysia melepaskan diri dari perangkap pendapatan sederhana.
GTP dan ETP sahaja tidak mencukupi bagi mencapai sasaran ini berbanding dengan Model Ekonomi Baru yang dicadangkan Najib pada Mac 2010, kata Liew.
"Saya setuju 90% dengan Model Ekonomi Baru. Ia bertujuan memindahkan ekonomi daripada terus berintensifkan buruh, membantu penduduk yang berada di 40% terbawah, mengurangkan kebergantungan kita terhadap pelaburan asing dan mencari bakat teknikal kita.
"ETP dan GTP tidak dapat melaksanakan perkara tersebut. Ia sekadar menyambung model pembangunan Mahathirisme yang bergantung kepada projek mega.
"Kamu buat projek bernilai RM50 bilion dan katakan itu pertumbuhan. Itu tidak boleh menjamin kelestarian," kata Liew.
sumber
No comments: