Bekas Menteri Penerangan Datuk Zainudin Maidin menyifatkan orang bukan Islam dan fanatik Kristian mengambil kesempatan dasar sederhana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengeksploitasi konsep ini, bagi terlihat memihak kepada mereka.
Terkini, kata beliau yang lebih dikenali sebagai Zam, orang Islam digunakan untuk mendedahkan tiada kesederhanaan dalam Islam di Malaysia apabila mereka ditunjukkan tidak boleh menyentuh anjing dan pesta arak dibantah di negara ini.
"Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Ibrahim Ali kerana mengancam membakar Bible dalam Bahasa Malaysia dicabar lantang untuk menunjukkan tidak ada keadilan dan kesederhanaan Islam di Malaysia," tulis Zam dalam blognya, Zamkata.
Menurut Zam, Pengarah Urusan The Star Datuk Wong Chun Wai tampil menjadi juara dalam hal ini.
"Star diberikan kepercayaan oleh Najib untuk mempromosikan konsep sederhana," tulis Zam yang mempunyai pemikiran yang selari dengan bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, konsep sederhana ini menyebabkan orang Umno dan Melayu Islam berada dalam keadaan menyerah kalah kerana takut dianggap ekstremis, malah Najib sendiri takut mempertahankan menterinya Nancy Shukri yang menyampaikan keputusan Peguam Negara itu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata, tidak bersuara dalam soal penganjuran Pesta Arak dan Sentuh Anjing sengaja dilakukan untuk mendedahkan menerusi pelbagai reaksi, kesederhanaan bukan sifat orang Islam Malaysia.
"Sewajarnya tindakan mencegah dan pantas diambil terhadap mereka yang melakukan hasutan dan provokasi untuk memecahbelahkan bukan sahaja perpaduan kaum tetapi menimbulkan pergaduhan sesama umat Islam di negara ini.
"Inilah cabaran sebenar terhadap Akta Hasutan 1948," kata Zam, bekas Ketua Pengarang akhbar Umno, Utusan Malaysia itu.
Berasaskan semua perkembangan negatif ini, kata Zam, orang Islam yang sedar dan insaf merasa kekosongan dan kepalsuan dalam jaminan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam satu temuramah TV3 baru-baru ini yang mengatakan Umno akan terus mendukung Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.
Katanya, temuramah ini satu usaha mengawal kerosakan imej kerajaan yang sedang runtuh menjelang mesyuarat agung Umno berikutan pelbagai masalah perkauman dan penghinaan terhadap Perlembagaan Negara, khususnya Islam, yang berlaku sejak Najib menghapuskan ISA dan pendedahan hasratnya untuk meminda Akta Hasutan 1948.
Dengan berbuat demikian, beliau menjemput masalah demi masalah, dakwa Zam.
"Saya percaya perkembangan-perkembangan negatif inilah mendorong Naib Ketua Pemuda Umno Johor menyeru supaya orang Melayu, khususnya Umno, kembali lantang dan tidak lalai oleh sindrom sederhana," kata Zam.
Beliau merujuk kepada kenyataan Khairul Anwar Rahmat apabila menyatakan ada ketikanya konsep kesederhanaan tidak sesuai digunakan, terutama melibatkan perjuangan agama dan penegakan undang-undang syariah.
"Konsep kesederhanaan perlu diletakan pada tempat yang betul," kata Khairul Anwar melalui akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Sindrom sederhana ini, menurut Zam, menyebabkan Melayu dan Islam berada dalam keadaan bertahan sementara pihak musuh dipihak menyerang.
"Dalam peperangan apabila berada dalam keadaan bertahan, bererti sudah dalam kekalahan. Inilah yang sedang dirasakan orang Melayu dan Islam sekarang," katanya.
Bagi beliau, Khairul sebenarnya menyuarakan apa yang dirasakan orang Melayu dan Islam di akar umbi di seluruh negara.
"Saya tersentuh kerana rupa-rupanya masih ada pemuda Umno yang berjiwa besar, sedar dan berani.
"Semoga suara ini menjadi perintis kebangkitan suara berani pemuda Umno di seluruh tanah air yang sedang memendam rasa," tegas Zam.
sumber
No comments: