PKR menggesa Putrajaya menurunkan harga petrol dan tidak memberi alasan untuk menipu rakyat memandangkan harga pasaran dunia bahan api tersebut semakin menurun.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendesak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menilai semula kadar harga petrol yang dilihat membebankan rakyat.
"Fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif pentadbiran Datuk Seri Najib Razak," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Harga minyak mentah dunia jatuh daripada paras AS$105-108 setong ke AS$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini.
Selain itu, penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga ke 2015.
Bagaimanapun, Rafizi membidas pentadbiran Najib yang masih berdolak-dalih dan tidak memberikan komitmen untuk menurunkan harga bahan api tersebut.
"Dalam sidang Parlimen minggu lepas, saya menanyakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong apakah kerajaan bersedia untuk menurunkan harga petrol dan diesel mengambil kira tekanan inflasi yang membebankan rakyat serta harga minyak mentah yang semakin susut di pasaran antarabangsa.
"Beliau tidak memberi komitmen sekadar menyebut kerajaan sedang memantau keadaan," katanya.
Rafizi berkata, jika trend harga bahan mentah itu kekal pada paras tersebut, kerajaan akan mendapat penjimatan subsidi yang ditanggung setiap tahun.
"Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.
"Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras AS$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion daripada jumlah subsidi bagi 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion," katanya.
Beliau juga menolak alasan pentadbiran Najib yang sebelum ini mengatakan harga bahan api naik disebabkan bebanan subsidi yang tinggi.
"Ini bermakna, alasan harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia.
"Jika kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel apabila jumlah subsidi meningkat, bukankah apabila jumlah subsidi turun dengan mendadak maka beban rakyat yang disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel itu boleh dikurangkan dengan menurunkan pula harga petrol dan diesel?" katanya.
Selain itu, Rafizi menggesa Putrajaya memulangkan semula penjimatan subsidi yang diperoleh akibat penurunan harga bahan mentah itu kepada rakyat dan tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya.
"Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi 2015 itu perlu dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan perdana menteri dan menteri-menterinya," katanya.
Awal Oktober lalu, Putrajaya mengumumkan kenaikkan harga Ron95 dan diesel sebanyak 20 sen, kenaikan kali kedua dalam usaha langkah mengukuhkan defisit fiskal yang dihadapi kerajaan.
Pada September 2009, lima bulan selepas Najib menjadi perdana menteri, harga minyak juga dinaikkan.
Langkah tersebut menimbulkan kritikan dan kecaman banyak pihak pada ketika rakyat berdepan dengan pelbagai beban kos sara hidup dan kualiti hidup yang semakin tinggi khususnya di bandar besar.
Bulan lepas ini, Putrajaya juga mengumumkan sistem subsidi bersasar bagi pembelian petrol akan dibuat dengan menggunakan Mykad menjelang 2015 dimana ditentukan berasaskan tahap gaji individu.
No comments: