» » 'Dakwaan TPPA rugikan Malaysia RM4 bilion hanya spekulasi'


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dakwaan yang mengatakan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan merugikan Malaysia sebanyak RM4 bilion hanyalah spekulasi.

Mustapa berkata, perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan lagi.

"Kita menghargai semua pandangan, tapi pada masa ini segala pandangan itu berbentuk spekulasi kerana TPPA belum dimuktamadkan lagi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustapa mengulangi jaminan sebaik saja perjanjian TPPA hampir selesai, baru satu kajian manfaat kos akan dibentangkan kepada umum namun setakat ini tiada keputusan akhir diputuskan kerajaan.

"Kita menghargai semua pandangan, tapi seperti yang kita nyatakan apabila rangka TPPA ini sudah hampir selesai, maka akan dibentangkan kepada rakyat dan kita akan buat kajian manfaat kos," katanya.

Mustapa berkata, selepas itu kajian tersebut akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan sebelum keputusan akhir dibuat.

"Jadi, kita umumkan apabila hampir selesai kita akan buat satu kajian kos manfaat mengikut proses betul, ia akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

"Tentang bila itu, kita belum tahu TPPA akan selesai, jadi tidak perlu buat sekarang," katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan masih belum membentangkan sebarang kajian kos manfaat kerana rundingan masih berjalan ketika ini.

"Kalau buat sekarang tidak mendatangkan sebarang faedah, kalau buat pun ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi kerana belum selesai lagi.

"Kalau hendak buat kajian, kita mestilah berdasarkan fakta, tapi pada masa ini belum ada lagi kerana rundingan masih berjalan," katanya.

Badan Bertindak Bantah TPPA baru-baru ini mendedahkan perjanjian itu akan menyebabkan Malaysia kerugian bersih RM4.79 bilion setahun apabila nilai import akan meningkat lebih pantas berbanding eksport.

Badan Bertindak Bantah TPPA itu memetik laporan yang dikeluarkan pakar ekonomi kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rashmi Banga yang mendedahkan nilai eksport Malaysia selepas perjanjian itu meningkat AS$1.5 bilion tetapi nilai import meningkat lebih tinggi iaitu AS$2.9 bilion.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .