Aktivis Switzerland Dr Lukas Straumann berharap bukunya yang berjudul "Money Logging: One trail of the Asian Timber Mafia" akan mendorong Putrajaya membuka kertas siasatan baharu mengenai dakwaan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Straumann yang juga mengkaji sejarah memberitahu The Malaysian Insider, wakil peguam Taib menghantar surat kepada Amazon dan penerbitnya supaya penerbitan buku itu dihentikan.
"Mereka memberi amaran kepada Amazon dan penerbit supaya tidak mengeluarkannya, jika tidak mereka akan ambil tindakan undang-undang," katanya kepada The Malaysian Insider selepas melancarkan buku itu di Petaling Jaya, hari ini.
Namun, Straumann enggan melayan surat peguam itu dan menganggapnya satu taktik ancaman dan yakin Taib tidak akan memfailkan tindakan undang-undang.
"Dua tahun saya buat kajian membuktikan Taib ada empayar kewangan berbilion ringgit.
"Maklumat yang saya perolehi berdasarkan kenyataan awam, serta syarikat berdaftar di Malaysia, Kanada, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan United Kingdom.
"Saya juga menjalankan beberapa temubual dengan wakil orang asli, peguam, NGO, ahli politik dan ahli perniagaan.
"Semua kandungan dalam buku adalah berdasarkan kajian terperinci dan disokong dengan bukti kukuh, jadi saya tidak bimbang," katanya ketika ditanya sama ada bimbang dengan akibat yang bakal ditanggung selepas buku itu diterbitkan.
Straumann berkata, kebanyakan maklumat dalam buku itu sudah dibuktikan kepada pihak berkuasa berkaitan dan berharap Putrajaya akan membuat tindakan.
"Buku itu akan memberi orang ramai kefahaman lanjut tentang situasi di Sarawak dan isu yang masih berlaku," katanya.
Straumann turut memaklumkan perkara itu kepada Polis Berkuda Diraja Kanada, polis Kota London dan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
"Saya harap buku ini dapat menarik perhatian pihak antarabangsa mengubah cara masyarakat luar berurusan dengan Sarawak," katanya.
Straumann juga adalah pengarah eksekutif Bruno Manser Fund (BMF), kumpulan aktivis alam sekitar yang lantang membantah kemusnahan hutan hujan Sarawak.
"Punca utama kemusnahan hutan Sarawak adalah kerana pentadbiran kerajaan yang teruk," katanya menuding jari kepada Taib.
"Taib memerintah negeri lebih 20 tahun, menjalankan pelbagai perniagaan menerusi empat anaknya dan 10 adik-beradik sebagai proksi atau penama," katanya.
Pada 1963, 85% kawasan Sarawak adalah hutan belantara yang masih belum diusik sejak berdekad lamanya, kata Straumann.
Namun lanskapnya berubah secara mendadak sejak 50 tahun lalu apabila Sarawak menyumbang kepada 25% eksport pembalakan dunia.
Beliau turut mendedahkan empayar hartanah Taib serata dunia, bermula di Ottawa di Kanada yang didiami anak perempuannya, Jamilah serta suaminya warga Kanada.
Ada juga beberapa syarikat di Australia dan Amerika Syarikat, semuanya dimiliki saudara mara dan ahli keluarga Taib.
"Di Malaysia saja ada lebih 300 syarikat yang diasaskan Taib, keluarganya atau saudaranya," dedah Straumann.
Beliau dalam bukunya turut mendedahkan bagaimana beliau dan bekas wartawan BBC, Clare Rewcastle bertemu Ross Boyert pada Jun 2010.
Boyert merupakan bekas ketua pegawai operasi di sebuah syarikat milik anak lelaki Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib, di Amerika Syarikat.
Katanya, Boyert mendedahkan Taib memiliki harta bernilai $AS80 juta di San Francisco dan Seattle, dan membantu pengurusan bagi pihak Sulaiman.
Syarikat milik Taib di Amerika Syarikat termasuklah International Corporation, Wallysons Inc dan W.A Bolyston.
Syarikat itu juga didaftarkan di bawah nama anak Tan dan adik beradiknya, tetapi secara realitinya ia milik Taib, menurut Straumann seperti yang diberitahu Boyert kepadanya.
Straumann berkata, selepas pertemuan dengan Boyert, beliau dan Rewcastle diekori di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada Jun 2010.
"Ketika itu saya cemas dan rasa tidak selesa," katanya yang mengakui tidak pernah disekat masuk ke Sarawak.
Buku Straumann versi Jerman dilancarkan awal tahun ini pada Febrauri di Switzerland manakala versi Inggeris akan dilancarkan pada 3 November ini di Yokohama.
sumber
No comments: