Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Timbalan Yang Di-Pertua Datuk Ismail Mohamed Said mengadakan undian berbelah bagi selepas ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangkit membantah kelulusan bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan (2015) peringkat Jawatankuasa Kementerian Kewangan.
Ia berlaku selepas ketegangan yang tercetus apabila Ismail tidak mengendahkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua untuk meneruskan soalan kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejurus selepas Ismail membaca aturan urusan mesyuarat, ahli Parlimen PR bangun bagi membantah bacaan kali kedua diteruskan.
"Mengikut undang-undang Dewan, loceng akan dibunyikan dan semua ahli Parlimen perlu kembali dalam dewan untuk kiraan dimulakan," kata Ismail di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara menunggu keputusan undi belah ahli Parlimen pembangkang mengkritik Chua yang tidak mahu menjawab soalan mereka berkenaan "kontroversi" 1MDB.
"Walaupun mereka (kerajaan) menang, hakikatnya menteri tidak jawab soalan," kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
"Didik menteri itu betul-betul, dia tak tahu jawab soalan, didik dia," jerit Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim lantas membangun dan menjerit, "You shut up" apabila Pua menjerit "malu".
Kemudian, keputusan undi memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang memperolehi 57 undi manakala Pakatan Rakyat (PR) memperolehi 34 undi sebelum ia diluluskan.
Terdahulu mengenai surat sokongan Putrajaya dibangkitkan Pua yang sebelum ini kerajaan menafikan mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun Chua menolak untuk menjawab pertanyaan tersebut dengan menegaskan ia soalan berdasarkan andaian.
"Saya tidak mahu untuk memperkasakan mengenai isu tersebut hanya kerana pelbagai andaian dibuat," katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke kemudiannya berkata, kepada pemberita menjangkakan kiraan undi berbelah bahagi sememangnya tidak memihak kepada PR.
"Kita tahu bahawa kita tidak dapat memenangi undi tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen tadi.
Bagaimanapun beliau menyifatkan ahli Parlimen PR berjaya menghantar mesej kepada Chua bahawa beliau selaku timbalan menteri kewangan seharusnya tidak boleh untuk menolak menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.
sumber
No comments: