Sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merosot 6% kepada 48% bulan ini hasil kaji selidik yang terakhir dilakukan pada Ogos, lapor Merdeka Center hari ini, memetik rasa tidak puas hati akibat pemotongan subsidi bahan api.
Najib mendapat 54% rating persetujuan pada Ogos, selepas ia mengambil alih operasi memulihkan penerbangan MH17, kotak hitam dan mangsa ketika pesawat Malaysia Airlines itu ditembak jatuh di Ukraine pada Julai.
"Pada pandangan kami, penurunan dalam angka kedudukan itu mungkin akibat daripada langkah pengurangan subsidi bahan api pada 2 Oktober 2014," kata pengumpul suara itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kajian itu dilakukan pada 11 Oktober dan 26 Oktober lalu.
Badan itu menemubual 1,005 pengundi berdaftar melalui telefon.
Penarafan kelulusan terbaru dipercayai yang paling rendah pernah dicatatkan perdana menteri.
Sebagai sebahagian daripada rancangan rasionalisasi bahan api, Putrajaya mengurangkan subsidi bahan api pada awal bulan ini, yang menyaksikan kenaikan 20 sen seliter bagi RON 95 petrol dan diesel.
RON 95 kini berharga RM2.30 seliter, meningkat daripada RM2.10, manakala diesel RM2.20, meningkat daripada RM2 sebelum ini.
Sehubungan itu, kaji selidik itu mendapati penilaian kelulusan bagi Putrajaya menyaksikan penurunan 3%, dengan 38% responden mengatakan mereka gembira dengan kerajaan berbanding 41% yang dicatatkan pada Ogos lepas.
"Sekali lagi, kita mengatakan ini disebabkan rasa tidak puas hati orang ramai mungkin berpunca daripada kebimbangan atas kos sara hidup yang meningkat disebabkan kenaikan harga bahan api serta harga komoditi yang tertekan di kawasan luar bandar di negara ini," kata pengkaji itu.
Kaji selidik itu juga mendapati hampir separuh daripada responden merasakan negara ini "menuju ke arah yang salah", bertentangan dengan 41% yang merasakan Malaysia berada di landasan yang betul.
Sentimen negatif sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup, keadaan umum ekonomi serta kebimbangan sentimen perkauman dan penyampaian perkhidmatan awam.
"Mereka yang merasakan negara ini berada pada landasan yang positif berdasarkan pandangan mereka mengenai keamanan dan keselamatan, ekonomi yang baik dan bantuan kebajikan yang berterusan daripada kerajaan," kata Merdeka Centre.
Ekonomi kekal menjadi kebimbangan yang paling utama di kalangan responden, meningkat kepada 71% dalam kajian kali ini dibandingkan dengan 54% dua bulan lalu.
"Kami mengesan sentimen ini juga mengambil kira langkah tebatan yang diumumkan dalam ucapan belanjawan negara perdana menteri pada 10 Oktober 2014," kata Merdeka Centre.
No comments: