Muhammad Rizalman Ismail , atase tentera Malaysia yang diekstradisi ke New Zealand bagi menghadapi pertuduhan cubaan rogol, direman dalam tahanan selepas tampil di mahkamah di Wellington awal hari ini.
Menurut laporan AFP, dia yang berdiri di kandang tertuduh tanpa bersuara, akan muncul semula di mahkamah pada Selasa.
Turut hadir adalah kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang menyaksikan dari galeri awam.
Rizalman diterbangkan dari Kuala Lumpur ke New Zealand di bawah kawalan polis semalam dan bermalam di dalam tahanan di Auckland sebelum menaiki penerbangan ke Wellington pada hari Sabtu.
Dia sebelum ini pulang ke Malaysia pada Mei, menggunakan imuniti politik selepas didakwa mengekori Tania Billingsley, 21, ke rumahnya di pinggir bandar Wellington dan cuba memperkosanya.
Rizalman yang merupakan pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi yang pejabatnya terletak di Wellington itu, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Billingsley melepaskan haknya untuk merahsiakan namanya sebagai mangsa kes seksual bagi meluahkan rasa kecewa beliau berhubung cara kes itu dikendalikan.
Beliau mendakwa dalam satu temubual di televisyen pada Julai yang pihak berkuasa New Zealand kelihatan seperti hendak menyembunyikan perkara itu dan mahu mengelakkan satu insiden diplomasi daripada memastikan keadilan ditegakkan.
Menurut AFP, media di Wellington yang cuba merakam kehadiran Rizalman di mahkamah hari ini gagal berbuat demikian selepas peguamnya Donald Stevens mengatakan publisiti berlebihan akan menjejaskan hak anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.
No comments: