Putrajaya dan kerajaan New Zealand bekerjasama untuk mengekstradisi Muhammad Rizalman Ismail, 38, kembali ke Wellington bagi menghadapi tuduhan seksual selepas menyerang seorang wanita Mei lepas, kata Wisma Putra.
"Proses mengekstradisi Rizalman sedang dijalankan dalam semangat kerjasama dalam lingkungan undang-undang yang sedia ada di Malaysia dan New Zealand, dengan mengambil kira tidak ada perjanjian ekstradisi wujud di antara kedua-dua negara.
"Malaysia dan New Zealand komited untuk mendukung amalan dan kedaulatan undang-undang dalam memastikan Rizalman menerima perbicaraan yang adil," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan ringkas.
Rizalman, seorang pegawai Waran Kedua bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dituduh menyerang Tania Billingsley, 22, di rumahnya dengan niat untuk merogol pada 9 Mei.
Bapa kepada empat orang anak itu telah didakwa mengekori Billingsley dari perhentian bas ke rumahnya di Brooklyn, sebelum membuka pakaiannya sendiri. Wanita itu mendakwa dia melawan sehingga Rizalman melarikan diri selepas jirannya datang membantu.
Dilaporkan bahawa Rizalman kemudian menunggu di luar rumahnya, sehinggalah polis muncul.
Pada 22 Mei, Rizalman terbang pulang ke Malaysia selepas Wisma Putra menggunakan kekebalan diplomatik untuk beliau dan pada 29 Mei, e-mel daripada polis kepada pegawai mahkamah berkata Rizalman telah meninggalkan New Zealand.
Pelepasan dan kepulangan Rizalman ke Malaysia selepas menggunakan kekebalan diplomatik di New Zealand mencetuskan kemarahan di negara ini.
Berikutan kepulangannya, Rizalman telah dimasukkan ke hospital untuk ujian psikiatri di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.
Bulan lepas, Putrajaya berkata ia bersedia untuk ekstradisi Rizalman dengan berkata ia dilakukan untuk mencari keadilan dan pada masa yang sama mengikuti prosedur undang-undang yang betul.
No comments: