» » 'Pertikai hak istimewa orang Melayu punca Sekolah Cina jadi sasaran'


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata isu penghapusan sekolah vernakular timbul kerana hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar oleh kaum bukan Melayu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata orang Melayu tidak akan menyentuh hak kaum lain jika perkara dijamin Perlembagaan dipatuhi oleh semua kaum di Malaysia.

"Sebelum ini, timbalan menteri cadang dihentikan pembinaan sekolah vernakular. Kenapa cadangan seumpama ini muncul?

"Cadangan ini timbul kerana selama ini mereka merasakan sebagai orang Melayu, perkara yang dijamin Perlembagaan diusik kaum lain.

"Selama ini, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, kedaulatan raja dan hak istimewa orang Melayu sentiasa dicabar oleh pihak tertentu sedangkan perkara ini ada dalam Perlembagaan," katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

MCA dilaporkan menggesa hak kaum Cina dan India mempelajari bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular tidak dihalang mana-mana pihak kerana ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata bilangan pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) membentuk 12% daripada keseluruhan jumlah pelajar SJKC seluruh negara.

Katanya, ia menunjukkan sekolah jenis itu lebih berkepelbagaian berbanding sekolah kebangsaan.

Ibrahim berkata parti politik bukan Melayu yang sering mencabar hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan menyebabkan wujud golongan tertentu yang melakukan pertikaian sama.

Katanya, apa yang dibangkitkan Naib Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohamed Saad dan beberapa pemimpin lain dalam parti itu adalah kesan daripada tindak balas bukan Melayu mencabar Perlembagaan.

"Perkara ini mereka usik, mereka cabar. Mereka kata ini kolot, zaman sekarang perlu sama rata. Mereka cabar macam-macam.

"Bila mencabar, mereka kata ini hak asasi manusia dan demokrasi sedangkan perkara ini ada dalam Perlembagaan," kata Ibrahim.

Beliau berkata golongan yang mahu mengingatkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan dikecam dengan pelbagai tuduhan termasuk rasis.

Katanya, parti politik bukan Melayu tidak mencerminkan apa yang dikatakannya mahu menuntut kesaksamaan sedangkan masih memperjuangkan sekolah vernakular.

"Orang yang mempertahankan Perlembagaan dituduh rasis. Mereka kata tiada lagi politik berasaskan kaum kerana mereka nak hapuskan hak Bumiputera.

"Mereka juga berkata mereka tak setuju Akta Hasutan tetapi mereka membuat laporan kepada Azli mengikut Akta Hasutan," katanya kepada The Malaysian Insider.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .