Pendakwaan semula kes kematian Teoh Beng Hock hanya dapat dijalankan setelah siasatan pasukan khas yang ditubuhkan polis ke atas tragedi itu selesai, kata Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan lisan Parlimen hari ini.
Perdana menteri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengkaji semula dan membuat keputusan sama ada perlu pendakwaan semula atau tidak setelah siasatan selesai.
"Sekiranya keterangan mengikut keadaan didapati kukuh dan mencukupi untuk mewajarkan pendakwaan, maka ia akan dimulakan," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini.
Selain itu, Najib berkata, pihak pendakwa raya juga akan membuat keputusan mendakwa mereka terlibat sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang lain yang bersesuaian.
Kok dalam soalannya itu meminta perdana menteri menyatakan tindakan kerajaan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan atas kematian Teoh selain janjinya kepada keluarga akan mencari sebab kematian mangsa.
Najib berkata pihak polis sudah membuat penyiasatan secara menyeluruh dan mendapati tiada orang yang bertanggungjawab secara jenayah berdasarkan bukti mengikut undang-undang.
"Berdasarkan dapatan siasatan demikian, pendakwa raya mengarahkan siasatan kematian (inkues) tersebut dijalankan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga menubuhkan pasukan penyiasatan khas susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 September lalu yang mengenepikan keputusan terbuka oleh koroner berhubung kematian Teoh.
Mahkamah Rayuan memutuskan berdasarkan keterangan dikemukakan semasa siasatan kematian, terdapat keterangan mengikut keadaan yang menunjukkan terdapat kecederaan sebelum mendiang jatuh dan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh individu tidak diketahui.
Dalam jawapan itu menyatakan terdapat dua prosiding berasingan dibuat berhubung kematian Teoh, iaitu siasatan kematian (inkues) oleh koroner dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kematian mangsa.
"Koroner memberikan keputusan terbuka manakala RCI mendapati Teoh didorong membunuh diri kerana ditindas secara berpanjangan dan disoal siasat secara agresif oleh 3 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Najib.
No comments: