Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Putrajaya dan Kedutaan Malaysia di Paris dimaklumkan yang dia tidak boleh disiasat atau didakwa di Perancis kerana kejadian seperti didakwa seorang penumpang kapal terbang itu tidak berlaku di negara itu atau di ruang udaranya.
"Seorang peguam memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia di sini dan di Paris yang menurut Konvensyen Tokyo, pramugara itu perlu dihantar pulang untuk siasatan," kata sumber itu di Kuala Lumpur.
Katanya Wisma Putra dalam keadaan serba salah berikutan kes Muhammad Rizalman Ismail, bekas Pembantu Staf Pertahanan Malaysia di Wellington yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita Mei lepas.
Rizalman masih belum diekstradisi ke New Zealand bagi menghadapi tuduhan selepas Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik ke atasnya.
"Mereka tidak boleh dilihat berdolak-dalik apabila terdapat kelewatan yang tidak wajar menghantar Rizalman ke New Zealand untuk menghadapi tuduhan," tambah sumber itu.
Pelepasan dan pemulangan Rizalman ke Malaysia selepas menggunakan kekebalan diplomatik di New Zealand mencetuskan kemarahan kedua-dua negara.
Bapa kepada empat anak itu dituduh mengekori Tania Billingsley, 22, dari perhentian bas ke rumahnya di Brooklyn, sebelum membuka pakaiannya sendiri. Wanita itu mendakwa dia melawan sehingga Rizalman melarikan diri selepas jirannya datang membantu.
Sumber itu berkata kes pramugara ini jauh berbeza dengan kes Rizalman kerana polis Perancis tidak mempunyai bidang kuasa menyiasat dan oleh itu, penahanannya dianggap tidak sah.
The Malaysian Insider difahamkan, mengikut kod prosedur jenayah Perancis, suspek boleh ditahan sehingga majistret yang menyelia siasatan itu memberi kebenaran mengenakan pertuduhan atau membebaskan suspek.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin berkata melalui khidmat pesanan ringkas yang seorang peguam sedang mengendalikan kes pramugara itu dan beliau enggan mengulas lanjut.
Peguam pramugara itu, Shailender Bhar masih belum berlepas ke Paris untuk bertemu peguam dan pendakwa di sana kerana "sesuatu keadaan yang di luar jangkaan".
Keluarga pramugara yang berusia 57 tahun itu meminta bantuan Shailender dalam kes itu kerana dia ditahan polis Perancis sejak 5 Ogos, bagi disiasat atas tuduhan rogol.
Shailender dijangka memohon suspek dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kemungkinan memfailkan pertikaian yang polis Perancis tiada kuasa menyiasatnya dan membuat pertuduhan.
Daripada maklumat yang dikumpul setakat ini, katanya pengadu warga Australia Laura Bushney, 26, mendakwa kejadian pertama berlaku di dalam pesawat yang menuju Paris, semasa masih belum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Insiden kedua berlaku tiga jam setengah kemudian ketika pesawat MAS MH20 terbang di atas Teluk Bengal, India, yang merupakan ruang udara antarabangsa.
Portal berita Perancis, FranceTVInfo yang pertama melaporkan anak kapal itu ditahan kerana menyerang penumpang secara seksual semasa dalam penerbangan.
Bushney dikatakan menyuarakan kepada pramugara itu perasaan gemuruhnya ketika terbang di Lautan Hindi berikutan kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac dan pesawat MH17 yang ditembak pada bulan Julai di Ukraine.
Dia kemudiannya dilaporkan membuat laporan polis setibanya di Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada 5 Ogos.
Pramugara itu kemudiannya disoal dan ditahan dua hari kemudian.
Bagaimanapun, terdapat keraguan terhadap dakwaan Bushney selepas dia muncul di sebuah stesen televisyen Australia untuk bercakap mengenai kejadian itu.
Dia mengaku merekod sebahagian kejadian serangan itu pada telefon kameranya tetapi tidak cuba menghentikan serangan. Itu membuatkan penonton mendapati ceritanya tidak logik.
sumber
No comments: