» » Kerajaan akan pastikan peningkatan pendapatan lebih pantas berbanding harga barang


Kerajaan akan memastikan peningkatan pendapatan rakyat berlaku lebih pantas berbanding peningkatan harga barang, kata Menteri di Jabatan Perdana menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, kerajaan katanya melakukan pelbagai cara termasuk pendekatan tidak popular yang dipercayai mampu membantu memperkukuh ekonomi dan kewangan negara.

Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan pendapatan rakyat meningkat sekali gus dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, katanya sambil menambah ia sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Apa yang paling penting kita (kerajaan) pastikan bahawa peningkatan pendapatan (rakyat) lebih pantas berbanding peningkatan harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk 'Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera' anjuran Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) di sini, semalam.

Pemikir, sebuah badan pemikir sukarela dianggotai golongan profesional ditubuhkan antara lain bertujuan berkongsi pandangan dan idea untuk membantu menyumbang pelbagai idea kepada kerajaan.

Abdul Wahid berkata kesan kebaikan pendekatan kerajaan itu akan dapat dirasai oleh rakyat termasuk golongan berpendapatan sederhana dalam beberapa tahun terdekat ini.

Begitu juga dengan cukai barang dan perkhidmatan yang dilaksana bermula April tahun depan, rakyat akan dapat melihat manfaatnya dalam peningkatan pendapatan negara dalam tempoh dua tahun pelaksanaan, kata beliau.

Menyentuh mengenai Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang akan bermula Mei tahun depan, beliau berkata kerajaan antara lain akan menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

"Apa yang paling penting agar kita mengimbangi kepentingan meningkatkan ekonomi modal dan ekonomi rakyat, dan ini juga adalah antara asas dalam RMK11," katanya.

Abdul Wahid berkata kerajaan juga akan terus mengekalkan tiga komponen utama Model Baru Ekonomi iaitu pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan dalam RMK11 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berkekalan dan menyeluruh, selain boleh dinikmati oleh semua rakyat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kita memberi lebih penekanan kepada komponen keterangkuman dan kemampanan memandangkan komponen pendapatan tinggi sudah ada momentumnya, dan penekanan dua komponen ini termasuklah agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera," katanya.

Menurut Abdul Wahid kerajaan sememangnya komited melaksanakan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Namun, agenda yang turut dinyatakan secara jelas sebagai antara tujuh strategi utama dalam pembentangan Bajet 2015 itu masih perlu banyak diperbaiki dalam usaha meningkatkan penguasaan bumiputera dalam bidang ekonomi menjelang tahun 2020, katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .